Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor dan Kuala Lumpur sehingga 14 Januari 2021.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPB di  Selangor kecuali daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Katanya, tempoh penguatkuasaan PKPB itu dijadualkan sepatutnya tamat pada 31 Disember ini tetapi pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia telah dilaksanakan mengenai situasi semasa pergerakan kes di Selangor bagi tempoh 14 hari dari 14 Disember sehingga semalam.

“Secara kumulatif, sehingga 27 Disember 2020 sebanyak 29,272 kes positif Covid-19 telah direkodkan di negeri ini dan bagi tempoh 14 hari ini, Selangor merekodkan sebanyak 8,194 kes positif Covid-19 baharu dan kesemua sembilan daerah di negeri ini telah menjadi zon merah.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPB di seluruh Selangor sehingga 14 Januari 2021,” katanya dalam sidang media hari ini.

Justeru kata Ismail Sabri, PKPB di Kuala Lumpur juga dijadualkan tamat pada 31 Disember ini namun ekoran peningkatan kes ia juga dilanjutkan.

Katanya pada hari ini, KKM turut memaklumkan situasi semasa pergerakan kes di Kuala Lumpur bagi tempoh 14 hari ini dan secara kumulatif sehingga semalam sebanyak 12,494 kes positif telah direkodkan.

“Bagi tempoh 14 hari ini, Kuala Lumpur merekodkan sebanyak 4,379 kes positif Covid-19 baharu. KKM turut mengesahkan masih terdapat peningkatan ketara kes positif di Kuala Lumpur dan wujud beberapa kluster baharu yang melibatkan wilayah ini.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju agar PKPB di seluruh Kuala Lumpur dilanjutkan lagi bermula 1 Januari sehingga 14 Januari 2021,” tegasnya.

Sementara itu, PKPB di seluruh negeri Sabah dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 1 hingga 14 Januari 2021.

Sepatutnya tempoh pelaksanaan PKPB di negeri itu tamat 31 Disember ini tetapi KKM memaklumkan situasi semasa pergerakan kes di Sabah bagi tempoh 14 hari sehingga semalam menyaksikan sebanyak 36,074 kes positif  telah direkodkan.

Ismail Sabri berkata, bagi tempoh 14 hari ini, Sabah merekodkan sebanyak 3,243 kes positif baharu selain masih terdapat peningkatan jumlah kes harian di seluruh negeri ini.- MalaysiaGazette