Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador . foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan jumlah pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam ekoran musim cuti hujung tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mana-mana individu yang melanggar peraturan akan berdepan tindakan tegas berlunaskan undang-undang.

Peringatan itu, tegas beliau apabila mendapati sempena cuti hujung tahun dan musim perayaan, ramaiĀ  mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman, berkunjung ke tempat peranginan serta mengadakan majlis keramaian.

“Tidak dapat menafikan aktiviti demikian akan mewujudkan situasi yang mana orang ramai akan berkumpul dalam bilangan yang ramai dan sesak.

“Pemantauan juga mendapati masih ada yang leka dan kurang mengambil berat mengenai aspek pematuhan SOP bagi membendung penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengambilkira statistik kes baharu positif Covid-19 yang tinggi dan meningkat setiap hari, PDRM mengingatkan masyarakat agar sentiasa mengamalkan disiplin kendiri dan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurut Abdul Hamid, orang ramai diingatkan supaya mengamalkan pembudayaan norma baharu dalam komuniti serta mengelakkan 3S (sesak, sempit dan sembang dekat) dalam aktiviti harian bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Bersama-sama kita berganding bahu memutuskan rantaian dan melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 di Malaysia,’ tegas beliau.- MalaysiaGazette