Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembaikan paip pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 di Shah Alam sedang giat dijalankan.

Sehingga jam 3.00 petang tadi, kerja-kerja pembaikan telah mencapai tahap 54 peratus.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, insiden berkenaan telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 58 kawasan di Wilayah Klang/Shah Alam dan 72 kawasan di Wilayah Petaling.

“Kerja-kerja pembaikan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada jam 9.00 malam ini.

“Bekalan air akan mula disalurkan kepada premis pengguna setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Elina, tempoh pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Untuk maklumat lanjut dan status terkini bekalan air, pengguna boleh mellayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. -MalaysiaGazette