Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan memperkenalkan Program Net Energy Metering (NEM) 3.0 dengan tawaran kuota sebanyak 500MW bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Melalui program itu, kementerian tersebut akan memperkenalkan tiga inisiatif, iaitu Program NEM Rakyat, Program NEM GoMen dan Program Nova, yang membuka peluang kepada semua pengguna elektrik untuk memasang Solar Photovoltaic (PV) di bumbung bangunan masing-masing bagi menjimatkan bil elektrik mereka.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Program NEM 3.0 turut memperkenalkan inovasi baharu menggunakan konsep NEM maya atau virtual NEM dengan membenarkan pemilik bangunan komersial dan industri
untuk berkongsi lebihan tenaga dengan bangunan-bangunan mereka di lokasi berlainan.

Menyentuh Program NEM Rakyat, katanya, ia diperkenalkan untuk menggalakkan lebih ramai pengguna domestik menikmati penjimatan bil elektrik memandangkan hanya 5% permohonan di bawah Program NEM 2.0 adalah pengguna elektrik kategori domestik.

Tambah beliau, Program NEM Rakyat mengekalkan konsep 1 to
1 offset dengan kuota sebanyak 100MW atau sehingga kesemua kuota tersebut habis.

“Program ini memberikan manfaat pengurangan bil elektrik kepada 10,000 – 25,000 pemilik akaun domestik TNB atau kira-kira 40,000 – 100,000 isi rumah di Semenanjung Malaysia.

“Pengguna akan menikmati kadar offset 1 to 1 selama 10 tahun dan seterusnya mendapat penjimatan bil elektrik melalui konsep self-consumption selepas tamat tempoh tersebut,” katanya.

Program NEM dilaksanakan pada 2016 dengan kuota sebanyak 500MW telah habis dipohon pada 27 November 2020.

Menurut Shamsul Anuar, permohonan boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mulai 1 Februari 2021 hingga 31 Disember 2023.

Sementara itu beliau memberitahu, bagi mengurangkan bil elektrik di bangunan-bangunan Kerajaan, Program NEM
GoMEn (Government Ministries and Entities) akan diperkenalkan dengan kuota sebanyak 100MW.

Tambah beliau, Program NEM GoMEn akan mengekalkan konsep 1 to 1 offset selama 10 tahun dan menggunakan konsep self-consumption selepas tempoh tersebut.

Jelasnya, kira-kira 100 buah Agensi Kerajaan di Semenanjung Malaysia dijangka menikmati penjimatan bil elektrik yang dianggarkan berjumlah RM6 juta sebulan.

Permohonan kuota program ini boleh dikemukakan kepada SEDA mulai 1 Februari 2021 hingga 31 Disember 2023 atau sehingga kesemua kuota tersebut habis.

Program Nova (Net Offset Virtual Aggregation) pula adalah bagi membantu pengguna bukan domestik daripada kategori komersial dan industri yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang mana ia satu inisiatif baharu, ujarnya.

Katanya, program ini membolehkan usahawan, syarikat tempatan dan rumah-rumah ibadat menjimatkan bil elektrik dan mengurangkan kos melakukan perniagaan berdasarkan beberapa elemen.

Antara eleman itu ialah mendapatkan bekalan elektrik secara langsung daripada sistem solar PV yang dipasang di bumbung premis bangunan dan mengurangkan pembelian elektrik
daripada syarikat utiliti.

Menjual lebihan tenaga elektrik daripada sistem solar PV kepada sistem grid pada harga pasaran atau System Marginal Price (SMP) sebagai kredit tenaga dalam bil elektrik bulan berikutnya.

Melakukan offset lebihan tenaga elektrik melalui pengagihan secara maya (virtual aggregation) bagi 1 hingga 3 akaun bil elektrik di bawah pemilik yang sama.

Shamsul Anuar berkata, permohonan bagi Program Nova akan dibuka mulai 1 April 2021 sehingga 31 Disember 2023 atau sehingga kesemua kuota habis diagihkan dan perincian pelaksanaan program itu akan diumumkan sebelum permohonan dibuka. – MalaysiaGazette