Suasana di sekitar Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone di Ibu Pejabat Port Klang Free Zone (PKFZ), Pelabuhan Klang. foto AFIQ RAZALI, 09 JULAI 2020

PETALING JAYA – Kesesakan kontena yang berlaku di Pelabuhan Klang telah menyebabkan peniaga merungut terutamanya apabila kualiti barangan segar yang diimport menurun kerana menunggu terlalu lama.

Mengulas aduan itu, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk Chong Sin Woon berkata, walaupun “kelewatan berantai” yang disebabkan COVID-19 itu tidak dapat dielakkan, tetapi pihak pelabuhan akan berusaha untuk memastikan apa yang berlaku tidak menjejaskan bekalan barangan keperluan khususnya pada musim perayaan.

Beliau memberitahu Sinchew Daily, kemasukan bekalan untuk Krismas telah menerima impak dan pihaknya perlu memastikan bekalan untuk Tahun Baharu Cina tidak menerima kesan seumpama.

Sin Woon bagaimanapun menjelaskan, kelewatan yang berlaku tidak semestinya disebabkan kelemahan Pelabuhan Klang, tetapi kerana wabak COVID-19 yang menjejaskan operasi pelabuhan seluruh dunia, sekali gus mewujudkan kesan berantai.

“Apabila berlaku kesesakan di pelabuhan lain, ia akan mewujudkan kesan berantai yang turut menyebabkan Pelabuhan Klang sesak.

“Operasi pelabuhan di Singapura, Shanghai dan tempat lain telah terjejas kerana keadaan wabak,” katanya.

Beliau memberi contoh bahawa beberapa kapal telah memilih untuk tidak menurunkan barang di Singapura mengikut jadual kerana kesesakan yang berlaku di situ dan akhirnya memilih untuk melabuh di Klang.

Katanya, kesesakan di pelabuhan-pelabuhan dunia pula disebabkan jumlah pekerja yang dihadkan selain ada pekerja yang dikuarantin kerana COVID-19.

Mengenai keadaan di Pelabuhan Klang, Sin Woon berkata, 80 peratus kapal tidak melabuh mengikut jadual kerana mereka ‘melompat’ pelabuhan-pelabuhan terdahulu yang sesak dan terus ke destinasi berikut.

“Laluan perkapalan berlainan dengan penerbangan kerana kapal akan singgah di pelabuhan-pelabuhan sepanjang laluan untuk menurun dan mengangkat barang,” katanya.

Jelasnya lagi, kapasiti laman kontena (container yard) di Westport dan Northport telah mencecah 95 peratus sedangkan kapasiti 70 peratus sudah dianggap tinggi dan kontena juga diletak sehingga lima tingkat.

“Pihak pelabuhan sejak beberapa bulan lalu berusaha membuka tempat baharu untuk menempatkan jumlah kontena yang bertambah,” katanya.

Menurutnya, keadaan wabak juga menyebabkan pihak berkuasa seperti Kastam dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) melakukan pemeriksaan lebih ketat.

“Kontena perlu diletakkan di tempat kosong untuk diperiksa dan keadaan ini juga memakan ruang.

“Sebenarnya prestasi pelabuhan adalah cepat, tetapi urusan mungkin tertangguh kerana isu pemeriksaan,” katanya.

— MalaysiaGazette