Mohd Apandi Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengkaji dan meneliti semula saranan beberapa Ahli Dewan Negara yang mencadangkan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula untuk memulihkan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pada dasarnya kerajaan tidak menafikan pelaksanaan GST memberi penambahan hasil kepada negara, tetapi sistem itu mempunyai pro dan kontra.

Katanya, sepanjang GST diperkenalkan dari tahun 2015, kerajaan memperoleh pungutan sebanyak RM133.1 bilion sehingga suku tahun 2018, iaitu kutipan RM44 bilion setahun.

Bagaimanapun, selepas berlaku perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH) memansuhkan GST dan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Berikutan itu, hasil kerajaan berkurangan kira-kira RM23 bilion, apabila SST hanya dapat mengutip sebanyak RM21 bilion setahun.

“Kalau kerajaan sekarang hendak perkenalkan semula GST, kita kena ambil kira beberapa kelemahan yang wujud sebelum ini, yang memberi kesan kepada rakyat,” katanya menjawab dan menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Cukai Jualan Pindaan 2020 di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab perbahasan usul oleh Senator Mohd Apandi Mohamad dari Kelantan, yang bersetuju sekiranya kerajaan hendak memperkenalkan semula sistem GST.

Menurut bekas Ahli Parlimen Jeli dari Pas itu, beliau berpegangan bahawa GST adalah sistem cukai terbaik kerana mana-mana pihak tidak dapat mengelakkan diri dari terkena cukai.

“Ini kerana GST mempunyai sistem rantaian yang cukup kemas, tambahan pula kerajaan telah memberi latihan kepada pegawai Kastam untuk bersedia menghadapi sistem cukai itu, yang turut diamalkan oleh 94 negara dengan hampir semuanya adalah negara maju.

“Tetapi, kerana berlaku pertukaran kerajaan, GST ditukar kepada SST, sedangkan SST ini ada elemen boleh dielakkan oleh peniaga dan pengilang daripada membayarnya kepada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.