Teng Chey Ley diiringi anggota polis Inspektor Amirul dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas satu pertuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat penjualan alat ganti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen.

Tertuduh, Teng Chey Ley, 44, yang juga Pengarah Urusan AS Seal Sdn. Bhd. membuat pengakuan itu ketika kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Tertuduh didakwa menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah dan telah memberikan pinjaman kepada Jason Lim Teng Tian, 48, sebanyak RM215,000.

Bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 19 September hingga 21 Jun 2019 di Jalan Selinsing Off Jalan Kuching, Taman Niaga Waris, Sentul di sini.

Chey Ley dituduh melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh didenda minimum RM250,000 sehingga maksimum RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes disiasat oleh Inspektor Ruzanna Khairion dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi.

Annur Atiqah menawarkan wang jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dengan syarat pasport perjalanan perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.

Peguambela tertuduh pula, Jason Cheong menjelaskan anak guamnya seorang yang menanggung isteri berusia 34 tahun yang tidak bekerja dan dua anak berusia lapan dan enam tahun duduk di Mount Kiara.

“Tuan Hakim tertuduh memberi kerjasama sepanjang proses siasatan kepada polis sejak direman empat hari sejak 23 Disember lalu sebelum disambung reman dua hari lagi dan kini datang ke mahkamah menyatakan kesediaannya hadir kes dan berkelakuan baik.

“Wajar mahkamah mengurangkan wang jaminan tanpa menahan di penjara kerana kedua-dua anaknya rindu ketiadaannya di sisi dan mahu menyambut tahun baru bersama bapa mereka (tertuduh), maka saya mohon kebijaksanaan tuan,” katanya.

Isteri tertuduh hadir ke mahkamah sebagai penjamin kepada suaminya itu dan berjanji memastikan kehadiran suaminya sepanjang perbicaraan tanpa gagal.

Hasbullah menetapkan wang jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah juga menetapkan 2 Februari 2021 sebagai tarikh sebutan kes.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.