Penipuan dalam talian menyebabkan ramai yang terpaksa menanggung kerugian. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Wabak penyakit COVID-19 telah meningkatkan  aktiviti pembelian secara online, tetapi ia pada masa yang sama turut melonjakkan jumlah kerugian pengguna yang tertipu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sehingga 20 Disember, polis telah menerima 5,759 laporan pada tahun ini membabitkan jumlah kerugian lebih RM35.88 juta.

Berbanding 3,390 kes dan angka kerugian mencecah RM22.49 juta setakat 20 Disember tahun lalu, jumlah kes penipuan belian dalam talian telah melonjak sebanyak 69.8 peratus.

Zainuddin berkata, kebanyakan mangsa merupakan pembeli telefon bimbit dan juga peralatan ganti kenderaan yang harganya bermula ratusan ringgit hingga mencecah ribuan ringgit.

Katanya, taktik biasa penipu adalah memujuk pembeli membayar deposit dan menjanjikan baki bayaran boleh dijelaskan selepas “barang sampai.”

Jelasnya, penipu kemudian akan menggunakan pelbagai alasan untuk menjelaskan punca kelewatan penghantaran, dan akhirnya mereka akan menjadi gagal dihubungi.

“Jika sebuah telefon berharga RM2,000, penipu akan memujuk pembeli membayar RM1,000 malahan kurang sebagai deposit.

“Ramai yang hanya tersedar terpedaya selepas gagal menerima barang yang dijanjikan,” katanya kepada China Press.

Belian melalui Facebook mencatatkan paling banyak kes penipuan pada tahun ini dengan 2,319 kes dan kerugian RM14.5 juta.

Penipuan juga mengambil tempat di Mudah.my (1,110 kes), Instagram (1,087 kes), WhatsApp (539), Shopee (224), Carousell (162), Lazada (92), WeChat (91), Emel (14) dan Telegram (11).

Zainuddin justeru menasihatkan pembeli supaya sentiasa berwaspada termasuk menyemak melalui ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada satu-satu akaun itu adalah akaun keldai wang yang digunakan penjenayah.

Dalam perkembangan lain, Zainuddin memberitahu Sinchew Daily, penipuan skim pelaburan selalu berlaku melalui saudara-mara dan kenalan.

Katanya, pihak berkenaan lebih cenderung memperkenalkan skim pelaburan kepada kenalan kerana ia lebih mudah mendapat kepercayaan.

Beliau justeru menasihatkan orang ramai supaya jangan terlalu mudah mempercayai saudara dan kawan yang memperkenalkan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

“Mangsa selalunya kurang pengetahuan tentang pelaburan dan tidak tahu apa-apa mengenai skim yang ditawarkan, tetapi mengharapkan pulangan lumayan dalam jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata, pelabur harus menyemak satu-satu program pelaburan secara teliti sebelum meletakkan hasil titik peluh mereka dalam apa-apa skim.

— MalaysiaGazette