Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary (tengah) menyampaikan cek sumbangan kepada Presiden Persatuan OKU Sentral merangkap Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Ras Adiba Radzi (kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Musaadah Covid 19 JAKIM-YWM di Kompleks Islam, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 DISEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan diminta mempertimbangkan kelonggaran untuk membenarkan anak Orang Kelainan Upaya (OKU) dapat dihantar Kembali ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden OKU Sentral, Senator Ras Adiba Radzi berkata, ia penting agar anak-anak OKU itu terutamanya pengidap autisme dapat menjalani pemulihan seperti sedia kala dan tidak lagi berada dalam kemurungan.

Beliau menjelaskan ini kerana apa yang memburukkan keadaan gara-gara terlalu lama berada di rumah terdapat segelintir anak-anak OKU yang menjadi tidak normal hingga mencederakan diri mereka termasuk orang sekeliling.

“PDK itu penting kerana kita mahu anak-anak OKU ini dihantar ke sana kerana terdapat sahabat saya yang mengidap autisme, mereka menjadi tidak keruan di rumah.

“Jadi saya mohon kerajaan untuk pertimbangkan agar kita dapat menghantar anak-anak austime ke pusat pendidikan khas atau pun PDK yang dapat membantu mereka supaya mereka tidak lupa apa yang telah diajar oleh cikgu-cikgu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan Tabung Musaadah Covid-19 di sini hari ini.

Sumbangan bernilai RM50,000 itu disampaikan oleh Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Presiden Persatuan OKU Sentral merangkap Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Ras Adiba Radzi bercakap pada Majlis Penyerahan Bantuan Musaadah Covid 19 JAKIM-YWM di Kompleks Islam, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 DISEMBER 2020.

Mengulas lanjut, Ras Adiba memberitahu, pihaknya akan sentiasa memberi sokongan untuk membantu ibu bapa yang memiliki anak OKU untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kami cuba memberi sokongan kepada ibu bapa kerana mereka ketika ini berdepan kesukaran. Selalunya anak-anak mereka boleh dihantar ke kelas-kelas istimewa seperti Genius Kurnia.

“Tetapi dengan keadaan sekarang, mereka tidak boleh keluar rumah, jadi kalau ada tiga orang anak OKU yang ada masalah pembelajran atau hiperaktif, mereka ini susah

“Kami akan cuba membantu ibu bapa yang menjaga anak-anak istimewa ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, sumbangan Tabung Musaadah Covid-19 yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf telah mencecah RM6,008,644.47 sehingga 27 Disember lalu.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, bantuan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM3,705,416.98. – MalaysiaGazete