ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

KUALA LUMPUR – Dua anggota polis yang didakwa terlibat memeras ugut RM20,000 daripada seorang peniaga sarang burung di Cameron Highlands, Pahang ditahan.

Kedua-dua anggota polis peronda itu didakwa memaksa dan membawa mangsa mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara Selatan dan mengambil mengambil wang RM5,000 sebelum melepaskan peniaga terbabit.

Kejadian dilaporkan pada 21 Disember lalu sekitar jam 6 petang di Lebuhraya Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pada 23 Disember lalu, polis menerima aduan sekitar jam 11 pagi daripada mangsa lelaki berusia 57 tahun menyatakan dirinya ditahan pegawai polis peronda semasa dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Cameron Highlands.

Menurut mangsa, kenderaan polis itu dinaiki dua anggota  lelaki berhampiran Rumah Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh.

“Semasa ditahan, suspek didakwa telah merampas dan memeriksa telefon bimbit mangsa dan mahu menangkap pengadu kerana atas kesalahan membeli nombor ekor haram.

“Mangsa merayu dua anggota itu supaya melepaskannya tetapi kedua dua suspek (anggota polis) meminta mangsa membayar wang sebanyak RM20,000 jika mahu dilepaskan tanpa tindakan.

“Bagaimanapun mangsa menjawab dia hanya mampu membayar RM4,000 tetapi suspek berkeras meminta serahkan wang tunai RM5,000 ,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

Tambah Nik Ezanee, suspek kemudiannya bertindak membawa mangsa ke sebuah stesen minyak untuk mengeluarkan wang melalui mesin ATM.

Menurutnya mangsa kemudian dilepaskan oleh kedua-dua anggota polis itu selepas menyerahkan wang sebanyak RM5,000 kepada salah seorang suspek.

“Bertindak atas laporan itu, pada 24 Disember lalu jam lebih kurang 2 petang sepasukan polis dari IPD Petaling Jaya telah membuat serbuan dan tangkapan terhadap seorang lelaki warga tempatan berumur 30 tahun di kawasan Sri Hartamas.

“Polis berjaya merampas sebuah kereta peronda polis jenis Proton Preve dan sebuah beg silang jenama Tumi mengandungi sekeping kad kuasa polis, lesen memandu pasukan polis, satu buku saku, sebuah telefon bimbit jenama Iphone dan wang tunai RM2,500 dan kunci kereta peronda polis.

“Hasil siasatan polis terhadap suspek berjaya membawa kepda tangkapan seorang lagi lelaki warga tempatan berumur 38 tahun pada hari yang sama sekitar jam 9 malam di Sri Hartamas dan berjaya merampas kad kuasa polis, lesen memandu polis dan telefon bimbit Samsung Galaxy A51,” ujarnya.

Justeru katanya, semakan rekod jenayah lampau suspek mendapati suspek pertama tiada rekod jenayah manakala suspek kedua pula memiliki satu rekod kesalahan jenayah bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan bersangkut laporan polis Balai Bukit Jalil dan dituduh di mahkamah dan sudah dibebaskan.

Tegas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

“Suspek telah direman selama tiga hari dari 25 hingga 27 Disember lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan untuk merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan menuduh mereka di mahkamah,” ujarnya.- MalaysiaGazette