Surat pembebasan sekatan perpindahan FIFA kepada Kelantan FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Kelantan (TRW Kelantan FC) mengumumkan berita gembira kepada para penyokong setia apabila Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) mengesahkan pasukan itu bebas daripada sekatan perpindahan berkuatkuasa serta-merta.

Ia bermakna skuad The Red Warriors kini  boleh mendaftarkan pemain baharu termasuk  mendapatkan pemain import berkualiti bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang lebih mencabar musim depan.

“Kami dengan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada Fahmi Zhafri Ashraf & Co atas kerjasama yang amat baik dalam usaha membantu membebaskan kelab dari sekatan perpindahan yang telah dikenakan kepada pasukan sebelum ini.

“Pihak kelab juga mengucapkan terima kasih kepada FIFA, FAM, KAFA, MFL dan semua pihak yang menyokong dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kemajuan kelab ini.

“InshaAllah, pasukan Kelantan FC bersedia bersaing pada musim 2021,” kata kenyataan daripada penasihat undang-undang TRW Kelantan FC.

Kelab itu sudah pun menyelesaikan tunggakan gaji pemain import terdahulu, Cassio Francisso sekali gus membuktikan komitmen pengurusan baharu dalam melunaskan hutang yang ditanggung sebelum ini.

Sebagai rekod, Kelantan FC telah melunaskan tunggakan gaji Cassio dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM612,632.50 menerusi empat kali pembayaran.

Pembayaran pertama pada 9 September lalu membabitkan pembayaran sebanyak RM105,000 manakala kedua pada 13 September (RM189,000) dan terakhir pada 15 serta 17 Disember lalu membabitkan RM30,487.59 dan RM288,145. – MalaysiaGazette