Datuk Khaidiriah Abu Zahar

KUALA LUMPUR – Tidak timbul soal Kerajaan Persekutuan hari ini tidak stabil apabila dilihat membuat keputusan ‘flip-flop’ dalam sebarang perubahan kepada dasar Perintah Pergerakan Pergerakan (PKP) untuk menangani pandemik Covid-19.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Khairidiah Abu Zahar berkata, jika kerajaan tidak stabil, tidak mungkin Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

“Kerajaan terpaksa ambil langkah lebih berani walaupun ada kalanya kejap kena marah, ada kala dipuji dan disanjung, ia dilihat kepada situasi.

“Kalau kata kerajaan tidak stabil, hingga ke hari ini politik adalah sangat mencabar bukan untuk orang baharu sahaja tapi orang lama pun tercabar.

“Sehingga ke hari ini Bajet 2021 berjalan dengan baik walaupun berlaku undi belah bahagi sebanyak 28 kali,” katanya dalam program khas MalaysiaGazette bertajuk Reviu 2020 di Facebook Live, hari ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini sedar kepada keperluan rakyat yang memerlukan satu penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu pendapatan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Bila kerja semakin kurang, pendapatan terjejas itu antara isu paling merunsingkan semua pihak, rakyat atau kerajaan.

“Bila rakyat hadapi masalah pendapatan, sudah tentu ia beri kesan kepada ekonomi negara, pendapatan negara semakin kurang dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette