KUANTAN – Cadangan penamatan subsidi telur merunsingkan ketua isi rumah kerana rata-rata keluarga di negara ini masih memilih telur sebagai makanan harian lebih-lebih lagi mereka yang kurang berkemampuan.
Dayang Siti Mazlina Abang Ahmad, 34, berkata, penarikan subsidi telur akan membebankan rakyat dan kerajaan perlu mempertimbangkan semua cadangan tersebut.
”Harga sekarang sudah sedia mahal dan penarikan subsidi membuatkan harga telur semakin tidak mampu milik dan jadi lebih tinggi.
”Saya tidak setuju subsidi ini ditarik, dan lebih baik harga kekal seperti sedia ada. Keluarga yang ramai ahli keluarga jadikan telur ini barangan keperluan harian,” katanya.
Pesara kerajaan, Tajuddin Salleh, 66 berkata, jika harga telur meningkat pasti kesan dirasai masyarakat luar bandar yang lebih bergantung kepada telur sebagai lauk.
Katanya, kenaikan harga barang mentah lain sudah membebankan rakyat, justeru kerajaan harus memikirkan bagaimana susidi telur dapat dikekalkan.
“Bagi orang kampung, telur adalah makanan yang mudah dan murah. Kalau telur naik harga ayam pun lagi lah naik. Mereka yang mampu makan telur pun terkesan kalau telur mahal.
”Kalau harga naik, mereka yang tak berpendapatan tetap akan terjejas. Kerajaan kena fikir semula sebelum tarik subsidi,” katanya.
Zamshari Abu Hassan, 50, berpendapat kerajaan perlu menangguh penarikan subsidi kerana pengguna sedang berdepan dengan kenaikan harga barang yang kian meruncing.
Justeru katanya, kerajaan perlu menilai dan mengkaji penarikan subsidi telur dengan mengambil kita aspek keperluan asas rakyat ketika ini.
Beliau menambah, kerajaan seharusnya menarik subsidi barangan lain dan bukannya makanan mengandungi protein.
”Kalau boleh jangan tarik subsidi telur, tariklah kepada bahan mentah lain. Sebab telur ini memang orang ramai guna, kerajaan kena kasihankan rakyat,.
“Belanja sekarang sudah cukup tinggi, dan subsidi makanan seperti telur adalah perkara asas yang bantu ringankan beban. Kalau subsidi ini ditarik, harga barang lain mungkin ikut naik dan pengguna yang menanggung,” katanya.
Peniaga telur, Saw Ah An, 50, berkata, beliau ada mendengar khabar tentang penarikan subsidi barangan mentah itu dan namun setakat ini harganya masih stabil.
“Tapi kalau naik juga nanti mungkin orang ramai terpaksa terima. Sekarang telur gred A masih 42 sen, gred B ialah 40 sen,” katanya.
Terdahulu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C sekiranya bekaľan itu kembali pulih dan stabil.
Langkah menamatkan subsidi berkenaan wajar dipertimbangkan berdasarkan kejayaan penamatan subsidi ayam yang memberi penjimatan RM100 juta sebulan, kata menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, semalam. – MalaysiaGazette
















