Dua pengikut ‘Tuhan Harun’ diiring keluar selepas Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati kepada penjara 40 tahun kerana membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIP di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 10 OKTOBER 2024.

PUTRAJAYA – Dua pengikut ‘Tuhan Harun’ terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka dengan penjara 40 tahun kerana membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), 11 tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan semakan Sumustapha Suradi, 50, dan Shamsinar Abdul Halim, 47, untuk menggantikan hukuman mati dengan pemenjaraan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

“Permohonan kedua-dua pemohon dibenarkan, hukuman mati digantikan dengan pemenjaraan. Shamsinar dikenakan hukuman penjara 40 tahun dari tarikh tangkap pada 22 Feb 2014 dengan 12 sebatan manakala Sumustapha dikenakan hukuman penjara 40 tahun dari tarikh tangkap pada 27 Nov 2013,” kata Hakim Tengku Maimun ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Pada 27 Dis 2016, Mahkamah Tinggi Kuantan menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua lelaki itu selepas mereka didapati bersalah membunuh Ahmad Raffli Abd Malek.

Ahmad Raffli, 49, ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada 10 Nov 2013. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast