Mahkamah Tinggi Syariah Melaka hari ini menangguhkan pertuduhan terhadap tiga anak lelaki pengasas ajaran sesat Al-Arqam, Ashaari Muhammad, atau dikenali 'Abuya' atas dakwaan mempermainkan ayat al-Quran atau hadis dan menghina agama Islam, bulan lalu.

MELAKA – Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, hari ini, menangguhkan pertuduhan terhadap tiga anak lelaki pengasas ajaran sesat Al-Arqam, Ashaari Muhammad, atau dikenali ‘Abuya’ atas dakwaan mempermainkan ayat al-Quran atau hadis dan menghina agama Islam, bulan lalu.

Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin membenarkan penangguhan itu ke tarikh pertuduhan baru pada 19 Disember ini selepas dicadangkan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka, Atras Mohamad Zin.

Pihak pendakwaan turut dibarisi Timbalannya, Norazita Mohd Ali, Marina Muhammad dan Ahmad Faizul Ashar.

Atras dalam hujahnya menjelaskan, asas penangguhan pertuduhan bagi ketiga-tiga tertuduh di bawah Seksyen 91 dibaca bersama Sekyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 adalah untuk dituduhkan sekali dengan tujuh lagi orang yang disyaki (OYDS) lain dalam kes sama.

“Pada dasarnya, pendakwaan telah pun menfailkan untuk ketiga-tiga tertuduh hari ini dengan pertuduhan-pertuduhan di bawah Seksyen 91 dibaca bersama Sekyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

“Bagaimanapun memandangkan ada tujuh lagi OYDS lain yang kami yakin amat berkait dengan kes ini, kami mohon untuk ketiga-tiga tertuduh hari ini ditangguhkan pertuduhan dan disekalikan bersama pertuduhan tujuh OYDS lain,” hujahnya.

Peguam Syarie, Mohd Hafizuddin Ahmad Mispha dan Mohd Faizal Mohamad yang mewakili kesemua tertuduh tidak membantah permohonan pendakwaan.

Selepas mendengar hujahan, Hakim Syarie Mohd Yunus membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan mengarahkan setiap tertuduh masing-masing berumur 38, 42 dan 45 tahun itu dikenakan jaminan RM3,000 atau dengan dua penjamin.

Mahkamah menetapkan pertuduhan kesemua 10 individu berkenaan pada 19 Disember ini.

MalaysiaGazette pada 21 September lalu melaporkan Polis Melaka menahan 45 individu termasuk 34 kanak-kanak dalam serbuan di beberapa premis dipercayai mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di semua daerah negeri ini dalam Op Global.

Ketiga-tiga OYDS itu ditahan di sebuah rumah di Taman Ayer Molek Perdana, Alor Gajah dalam operasi yang dijalankan serentak.

Dalam serbuan selama 12 jam bermula 5 pagi, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) turut merampas 285 barang kes termasuk 12 keping gambar Ashaari dan 138 buku berkaitan ajaran sesat itu dalam serbuan ke atas 19 premis berkaitan GISBH hari ini.

Turut dirampas adalah buku-buku berkaitan Al-Arqam yang telah diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka termasuklah Aurad Muhammadiyah, satu keping jadual zikir Aurad Muhammadiyah, diari catatan ajaran Al-Arqam, serban Al-Arqam dan 33 unit cakera padat berkaitan Al-Arqam – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast