Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Instagram yang menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA), lagu Negaraku dan Jalur Gemilang di media sosial bakal berdepan tindakan undang-undang.

Ini kerana polis telah membuka kertas siasatan dan melakukan siasatan ke atas pemilik akaun Instagram bernama Bukan_Bang_Jago itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed mengesahkan laporan polis diterima terhadap perbuatan pemilik akaun instagram tersebut.

“Melalui akaun tersebut, suspek telah memuat naik gambar-gambar yang telah diubahsuai mengandungi wajah YDPA, lagu Negaraku yang telah diubahsuai liriknya dan gambar bendera Malaysia yang mempunyai simbol komunis.

“Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan terbaharu petang tadi.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang lebih bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam,” kata Huzir. – MalaysiaGazette