Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dua dari kanan). foto FAREEZ FADZIL, 29 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjanji akan terus memartabatkan syiar Islam dengan memenuhi tuntutan Maqasid Syariah yang menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta tanpa menafikan hak agama lain dalam keadaan negara sedang berhadapan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua rakyat perlu menggalas tanggungjawab bersama sebaik mungkin supaya diri, keluarga, masyarakat dan negara kita sentiasa terpelihara.

Jelas beliau, tahun 2020 merupakan tahun yang amat sukar dan mencabar namun percaya sebagai insan dan rakyat bumi bertuah Malaysia, masih banyak nikmat yang boleh disyukuri.

“Justeru, marilah kita sama-sama mengembleng kekuatan dan kecekalan yang ditunjukkan sepanjang tahun 2020, untuk melangkah ke tahun baharu 2021 dengan semangat yang lebih kental.

“Matlamat kita adalah untuk melihat Malaysia yang lebih bersatu-padu, bebas dari ancaman COVID-19, rakyatnya yang makmur dan sejahtera, ekonominya pulih dan rancak berkembang serta namanya yang megah di persada antarabangsa.

“Akhir kata, saya berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga kita sentiasa diberkati dan dipermudah segala urusan. Marilah kita bersama-sama melangkah ke tahun baharu 2021 dengan lebih gagah, yakin dan berani bahawa tahun yang baharu ini akan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, Insya-Allah,” katanya.

Muhyiddin turut memberi jamikan kerajaan akan terus membangunkan jaringan keselamatan sosial seperti bantuan tunai secara langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat, skim perlindungan insurans khusus untuk B40 dan memperkukuh sistem kebajikan negara untuk memastikan nasib golongan rentan termasuk B40, warga emas dan Orang Kurang Upaya sentiasa terbela.

Jelas beliau, ini termasuk dalam agenda besar pembasmian kemiskinan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, yang akan terus dipertingkat oleh Kerajaan PN.

Menurutnya, bergantung kepada situasi ekonomi semasa kerajaan sedia mempertimbangkan suntikan fiskal strategik jika keadaan memerlukan, seperti mana pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.

“Pokoknya, kerajaan akan membantu sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan mereka.

“Apabila ekonomi rakyat kukuh, tentulah lebih mudah untuk kita memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19. Kita tidak boleh leka dan alpa dengan kejayaan yang telah kita kecapi hari ini.

“Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), satu strategi komprehensif akan diumumkan pada awal tahun 2021 bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi negara,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, RMK-12 akan memberi tumpuan kepada pemacu baharu ekonomi negara seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau .

Ujar beliau, infrastruktur fizikal dan digital di bandar dan luar bandar akan dibina untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing serta dapat merebut peluang-peluang ekonomi baharu di peringkat global.

“Selari dengan ini, kerajaan akan melancarkan Dasar Digital Negara pada suku pertama tahun 2021 dengan penumpuan khusus kepada pembangunan sistem rangkaian 5G.

“Insya-Allah, apabila diumumkan kelak, saya yakin RMK-12 akan memperlihatkan visi ekonomi Malaysia yang jelas untuk dekad baharu ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia terus bersifat inklusif dan memanfaatkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette