Penganalisis Politik dan Geostrategis dari UTM, Prof. Madya Dr. Azmi Hassan (kanan) bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Khaidiriah Abu Zahar (dua dari kiri) dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subbramaniam (dua dari kanan) ketika hadir ke Program Reviu 2020 Malaysia Gazette di Studio MG, Lakefields, Sungai Besi. foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Tindakan rakyat yang gemar menyalahkan kerajaan ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 bukanlah satu kesalahan sebaliknya perlu dipuji kerana masyarakat mempraktikkan kuasa demokrasi mereka.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Khaidiriah Abu Zahar berkata, sebaliknya kerajaan perlu menerima kritikan dan teguran rakyat bagi memastikan kebajikan mereka terbela dan diberi perhatian oleh kerajaan, apatah lagi Covid-19 memberi kesan kepada pendapatan rakyat.

“Sebenarnya menyalahkan kerajaan itu adalah hak rakyat untuk mengkritik dan memberi pandangan.

“Siapa saja jadi kerajaan sama ada pihak kami ataupun PH, itu ruangnya, kerana ia mempraktikkan kuasa demokrasi dalam tangan mereka, itu baik.

“Dalam masa sama, ia memberi satu cerminan kepada kerajaan untuk sentiasa memikirkan terbaik untuk rakyat supaya lebih progresif dan memastikan kebajikan rakyat itu dijaga dengan baik,” katanya pada program Reviu 2020 MalaysiaGazette di Facebook Live, hari ini.

Khaidiriah yang lebih dikenali sebagai Dira memuji sikap yang ditunjukkan parti pemerintah hari ini yang berani mengkritik pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kepentingan rakyat diutamakan.

“Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) salah satunya, pada asalnya mungkin tidak masuk pun dalam agenda, tapi bila didesak, dalam kerajaan pun mengkritik kerajaan.

“Satu perkara baik yang ada dalam kerajaan hari ini di mana kerajaan pun meraikan kepelbagaian pendapat, perbezaan sehingga keputusan dan tindakan yang diambil akhirnya akan menguntungkan rakyat.

“Rakyat bising satu ketika dulu, masa awal pandemik tak cukup bantuan kewangan secara tunai, maka kerajaan buat pengumuman untuk naikkan,” katanya.

Menurutnya, tanpa kritikan rakyat, sudah pasti kerajaan tidak akan membuka semula sektor ekonomi dan memberi moratorium ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula diperkenalkan pada 18 Mac lalu.

“Ada yang bising sebab tak boleh bekerja langsung, ini menyebabkan ekonomi semua terbantut terus, jadi kerajaan perlahan-lahan buka beberapa sektor ekonomi pada Mei lalu.

“Kalau ikutkan, masa pandemik itu moratorium itu datang kemudian, rakyat mendesak supaya mengadakan moratorium, bank secara automatik hentikan kutipan hutang daripada rakyat.

“Jadi ekonomi rakyat itu tidak terganggu dengan hutang-hutang sedia ada, ia berlaku dari tiga bulan menjadi enam bulan,” jelasnya.

Sehubungan itu, kritikan dan teguran rakyat tidak sepatutnya dipinggirkan malah harus diterima dengan baik dan terbuka oleh kerajaan yang memerintah pada hari ini.

“Kalau tengok kadar pengangguran pun memang pada awalnya pada Mac dan April lalu agak tinggi, tapi setelah adanya insentif kerajaan, GiG Ekonomi yang semakin membesar dan giat walaupun kadarnya lebih kecil tapi lebih progresif seperti E-Hailing dan perdagangan dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette