Gambar fail

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang dipaksa beratur untuk memohon pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa pandemik disifatkan peraturan tidak masuk akal.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa ramai rakyat kecewa dan marah terutama menerusi media sosial.

Ada kata bantuan tidak cukup dan ada marah kerana ia bersyarat, katanya dalam ucapan tahun baharu malam tadi.

Menurut Najib, ‘kemarahan’ rakyat juga dilihat dalam isu kegagalan kerajaan menyediakan pelanjutan moratorium dan menyifatkan pihak bank enggan bertimbang rasa.

“Kuasa buat keputusan bukan di tangan saya, saya hanya mampu membawa suara rakyat dan beri tekanan kepada kerajaan,” ujarnya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan ancaman penularan Covid-19 yang berterusan termasuk bilangan kes baharu meningkat di negara ini.

“Saya berdoa jumlah kes tidak melonjak 5,000 sebab vaksin hanya diberi kepada 70 peratus rakyat Malaysia pada akhir tahun depan, ini bermaksud Malaysia terus dicabar,” katanya.

Najib juga berharap sistem kesihatan tidak tumbang walaupun terkejut mendengar bilangan petugas barisan hadapan yang dijangkiti Covid-19.- MalaysiaGazette