Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 31 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sempena tahun baru hari ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap agar Malaysia kembali menjadi salah sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang utuh.

Justeru, untuk kembali menjadi Harimau Asia, Presiden MBM, Juftri Joha berpendirian barisan pemimpin negara perlu tamatkan konflik antara satu sama lain supaya negara menjadi lebih stabil dan kukuh.

“Kita harap dengan kestabilan politik dan ekonomi Malaysia akan bangkit semula menjadi kuasa besar. Kita lihat bahawa pada suatu ketika kita setara dengan Korea Selatan tetapi ketika ini disebabkan ketidakstabilan dua perkara mengakibatkan kita tidak boleh fokus menjadi kuasa besar. Sekurang-kurangnya kita menjadi kuasa sederhana yang memberikan peranan yang besar

“Bukan sahaja masih lagi berkonflik dalam negara tapi sepatutnya kita susun saf berperanan jadi antara kuasa besar jaguh ekonomi yang pernah kita nikmati akhir tahun 90-an,” katanya ketika sidang media semalam.

Selain itu beliau ingin melihat landskap politik negara dibarisi lebih ramai generasi muda untuk membawa idea yang lebih segar.

Dewan Negara juga, ujarnya, perlu terdiri daripada 50 peratus golongan belia supaya suara-suara generasi muda sampai ke peringkat tertinggi kerajaan, sekaligus memudahkan kerjasama erat antara dua pihak.

“Kita maklum Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlangsung bila-bila sahaja pada 2021. Sekurang-kurangnya 50 peratus perwakilan anak muda di kalangan bawah 45 tahun perlu berada dalam Dewan Negara sekaligus membawa idea-idea baharu dan landskap politik baharu supaya dapat diselesaikan segera kemelut yang melanda

“Akhir sekali kita harap lebih banyak lagi platform untuk anak muda bersuara. Selain daripada Parlimen Belia yang kita sedang cadangkan untuk penubuhan kumpulan merentas parti di Parlimen berkenaan hal ehwal belia supaya lebih banyak platform untuk beliau kalau tidak bergiat dalam politik pun masih boleh aktif dalam platform yang boleh membawa suara mereka ke pihak atasan,” ujar beliau.

Dalam melihat kepada perkembangan semasa, Juftri berkata, gejala cenderung membunuh diri merupakan antara isu yang perlu ditumpukan oleh kerajaan pada tahun 2021.

Katanya ini kerana kadar membunuh diri semakin membimbangkan semenjak Covid-19 melanda negara.

“Kita mengharapkan kerajaan serius untuk fokus menangani isu-isu belia dan rakyat khususnya yang terkait dengan Covid-19 iaitu vaksin dan juga paling membimbangkan di kalangan belia adalah gejala sakit mental.

“Tahun ini kadar membunuh diri apabila PKP dilaksanakan hampir setiap hari ada sahaja seorang sekurang-kurang membunuh diri ini, perkara serius dan diharapkan kerajaan mengambil serius untuk menangani isu sakit mental dan gejala membunuh diri.

“Walaupun sebelum Covid-19 berlaku pun kalau kita semak Indeks Kesejahteraan Masyarakat Malaysia kecenderungan anak muda membunuh diri agak membimbangkan apatah lagi berlakunya pandemik,” tambah Juftri.-MalaysiaGazette