Gambar hiasan

BESUT – Lima nelayan tempatan termasuk seorang tekong dikhuatiri hilang setelah bot dinaiki mereka dipercayai karam dalam kejadian di perairan Pulau Perhentian tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 1 tengah hari itu dipercayai akibat bot mereka mengalami kebocoran dan dimasuki air serta dipukul ribut akibat cuaca buruk.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh Maritim Tok Bali dan anggota polis Pulau Perhentian sejurus laporan diterima pada 7.45 malam semalam namun sehingga kini kesemua mangsa masih belum ditemukan,” katanya.

Katanya, difahamkan sebelum kejadian berlaku, tekong bot terbabit sempat menghubungi sebuah bot nelayan yang lain meminta bantuan kerana bot mereka dimasuki air dan memaklumkan mereka berada berdekatan perairan Kelantan dan Pulau Perhentian.

Namun, Abdul Rozak berkata, selepas itu bot berkenaan tidak lagi dapat dihubungi dan dikesan.

Katanya, mangsa yang dikhuatiri hilang adalah dua beranak iaitu tekong bot, Tuan Azaha Tengku Long @ Mansor, 46, dan anak lelakinya dikenali sebagai Mat Rizal, 21, dari Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan.

Sementara, tiga lagi awak-awak dikenali sebagai Mamat, 24, dari Tok Bali, Kelantan; Sakri, 30, dari Pasir Puteh, Kelantan; dan Ujang, 30, dari Penarik, Setiu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast