Azmi Hassan

KUALA LUMPUR – Menginjak tahun baru hari ini, Menteri dan Timbalan Menteri perlu membuat perubahan dengan menghentikan politiking.

Sebaliknya mereka perlu memberi 100 peratus tumpuan kepada isu semasa iaitu Covid-19.

Pakar Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, sebagai menteri apa yang mustahak adalah mereka perlu berani melaksanakan inisiatif berkaitan pandemik yang memberi manfaat kepada rakyat walaupun akan dikritik oleh pihak tertentu.

“Kalau diikut 2020 kalau nak berikan tahap mungkin 50 hingga 60 peratus sahaja perhatian diberikan kepada pandemik.

“Harapannya 2021 ini masalah pandemik ini diberikan keutamaan. Kalau kita lihat jangkitan hari (Khamis) lebih 2,000 jangkitan paling tinggi sekali jadi inilah satu petanda tidak baik kita melangkah ke tahun baru, itulah kurangkan politiking tumpukan perhatian timbalan menteri, menteri, 100 peratus,”katanya menerusi Program Khas REVIU 2020 yang disiarkan secara Facebook Live oleh MalaysiaGazette malam tadi.

Mengimbas bagaimana cara kerajaan menangani Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun 2020, Azmi berkata, ada menteri yang dilihat jarang tampil, lebih proaktif untuk mengusahakan suatu insiatif berkaitan ekonomi yang dekat di hati rakyat.

“Ada kementerian-kementerian yang diterajui oleh menteri-menteri langsung tidak nampak inisiatif pandemik mereka, bagaimana nak melonjakkan ekonomi dalam sektor mereka , kadang-kadang saya pun tidak kenal tapi dalam politik dalaman parti hebat sekali bercakap tapi dalam politik nasional untuk menangani pandemik satu pun tidak ada,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pada hari pertama tahun 2021, Azmi menjangkakan tidak banyak perubahan yang bakal berlaku dalam negara sebaliknya suasana politik dalam negara akan menjadi lebih hangat dengan isu tertentu.

“Hakikatnya walaupun tahun 2021, tidak akan banyak perubahan. Apakah yang kita akan hadapi dalam 2021 tidak banyak berubah, maknanya politiking tetap akan berlaku, politiking dalam parti akan menjadi lebih panas lagi kerana menjelang 2021 ini kita akan menerima Vaksin Covid-19 yang diharap pada Fabuari atau Mac, dan PRU (Pilihan Raya Umum) akan menjadi semakin hampir, perbincangan pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) belum lagi selesai maka ianya akan menjadi lebih panas,” tambah pemerhati politik itu.

Namun katanya, perlu diingat bahawa rakyat mahukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil. – MalaysiaGazette