Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) diiringi Ketua Parti Amanah Negara Kawasan Pandan, Izham Hashim (dua kanan) serta yang lain memotong kek sebagai gimik perasmian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahanan Amanah Kawasan Pandan di Menara MPAJ, Pandan Indah, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 SEPTEMBER 2020
MUTAKHIR ini ramai yang bercakap mengenai penjajaran baru politik negara. Ini berikutan berlakunya kecelaruan, pengkhianatan dan kesimpang-siuran watak-watak pemain politik
tanah air yang membosankan. Menjelang sinar tahun baru 2021, adalah wajar untuk semua pemain utama politik Malaysia untuk kembali ke landasan asal pembentukan negara bangsa Malaysia yang menjadi cita-cita luhur setiap warga yang rela berpayung di
negara bertuah ini.
2. Sebelum kita boleh bersetuju dengan seruan penjajaran semula politik bagi memacu urus tadbir negara, sudah sampai masanya pimpinan utama semua parti politik bersedia dahulu
untuk mengunjurkan penjajaran pemikiran politik kita demi melihat kepentingan rakyat dan negara benar-benar menjadi satu realiti bukan mimpi dan ilusi. Penjajaran politik baru negara akan dapat mencapai maksudnya setelah pimpinan utama parti-parti politik bersedia terlebih dahulu untuk berubah kepada paradigma baru daripada aspek pemikiran, gagasan serta wawasan yang lebih segar dan kontemporari sifatnya.
3. Maka dengan itu penjajaran pemikiran baru kepimpinan politik mestilah mampu menjadi “game changer” yang sifatnya bukan biasa-biasa mahupun mengulangi kebiasaan lama dan kuno yang akan terus memenjarakan rakyat dan negara. Penjajaran pemikiran baru ini sewajarnya berteraskan kepada agenda besar berikut:
a. Keupayaan untuk meletakkan noktah kepada isu perkauman dan agama yang sempit lagi ekstrem sifatnya. Ini memerlukan iltizam politik yang tinggi daripada kepimpinan politik untuk duduk semeja mencari titik kebersamaan. Biarlah anak-
anak Malaysia ini dalam jangka waktu sedekad akan merasakan negara ini adalah milik kita bersama dan redha jasad dan roh kita disemadikan di tanah tercinta ini.
b. Anak-anak bangsa Malaysia akan dijamin dan terasa dilindungi dengan saksama oleh Perlembagaan Negara. Negara benar-benar menjadi taman indah untuk anak-anak Malaysia bermain dengan naluri selamat dan sejahtera. Tidak ada lagi pimpinan politik yang mempertaruhkan isu kaum dan agama sempit lagi ekstrem sebagai ranting zaitun atau talian hayat mereka.
c. Kepimpinan politik negara bersedia untuk mempamerkan teknik dan seni politik masing-masing dalam merealisasikan impian di atas. Satu Konvensyen Penjajaran Baru Pemikiran Politik Negara boleh dianjurkan demi mencapai maksud di atas. Podium ini boleh mencerna pemikiran, sikap, tingkah laku,
pesona dan idea besar pimpinan politik untuk mencapai hasrat yang murni dan agung ini.
4. Banyak kerajaan besar, dinasti, empayar serta tamadun yang dibina atas keberanian menggagaskan pemikiran besar dan dijajarkan orang politik yang berjiwa besar. Mungkin angin segar dan dingin pada hujung Disember 2020 ini mampu terus bertiup sopan merentas bayu hangat Januari 2021 yang pastinya menjanjikan cabaran Malaysia yang sukar diduga.
Oleh: Datuk Seri Salahuddin Ayub 
Timbalan Presiden Parti Amanah