KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kereta lama dengan penangkapan tiga orang lelaki berumur lingkungan 48 hingga 52 tahun pada 23 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan kehilangan kereta jenis Nissan Vanette di Taman Million, Kuala Lumpur pada 11 November lalu.

“Sindiket ini dipercayai aktif mencuri kenderaan di beberapa kawasan di Sentul, Jinjang, Kepong dan sekitar Lembah Klang.

“Semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes curi kenderaan,” katanya menerusi kenyataan.

Susulan tangkapan itu, polis berjaya mengesan dan merampas empat buah kenderaan pelbagai jenis bernilai RM45,000.

Kesemua suspek direman selama tiga hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bagi membantu siasatan dan mereka telah diserahkan ke IPD lain bagi siasatan lanjut susulan daripada rampasan barang kes yang telah dibuat oleh pihak polis Sentul.

Beng memaklumkan kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan pihak polis sehingga kini masih mengesan beberapa rakan penjenayah itu yang masih bebas. -MalaysiaGazette