Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Tahun 2021 adalah masa terbaik untuk semua pihak mengetepikan perbezaan masing-masing dan penggubal dasar khususnya berusaha memberi khidmat sebaik mungkin demi memenuhi keperluan rakyat serta perniagaan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam rencana tulisannya yang disiarkan di www.thestar.com.my hari ini, beliau mengingatkan agar semua pihak untuk mengambil iktibar daripada setiap krisis yang berlaku seperti pandemik COVID-19 pada 2020 bagi menjadikan diri lebih tabah dan kuat.

“Sejarah telah mengajar kita untuk bersatu dalam menghadapi cabaran. Terdapat sebegitu banyak ruang untuk negara tercinta ini mencatat pertumbuhan, terutamanya setelah kita berupaya menempuh antara tahun paling sukar dalam sejarah kewujudan negara selama 63 tahun ini,” kata beliau.

Dalam persekitaran norma baharu itu, Tengku Zafrul juga optimis mengenai prospek masa depan Malaysia, lebih-lebih lagi selepas aktiviti perniagaan dapat beroperasi semula, perkembangan positif membabitkan pengagihan vaksin COVID-19 di peringkat global serta usaha berterusan kerajaan untuk menghidupkan semula serta mereformasi ekonomi negara ini.

“Kita terbukti berupaya berdiri teguh mengharungi banyak cabaran kesihatan awam dan ketabahan ini wajar diteruskan bagi memenangi perang COVID-19 ini. Kita telah dapat melandaikan lekuk (jangkitan kes) sebelum ini dan pasti boleh mengulanginya semula,” katanya.

Beliau juga menyifatkan 2020 sebagai tahun sukar untuk banyak pihak yang menyaksikan kerajaan bertindak menyalurkan suntikan fiskal bernilai RM55 bilion di bawah beberapa pakej rangsangan pada tahun lepas dalam usaha meringankan beban golongan berpendapatan rendah serta rentan atau mudah terjejas.

Ini termasuk RM18 bilion yang disalurkan menerusi Bantuan Prihatin Nasional yang mengatasi Bantuan Sara Hidup berjumlah RM4.74 bilion yang telah diagihkan pada 2020.

Sambil mengakui bahawa usaha pemulihan akan memakan masa dan 2021 tidak terkecuali daripada cabaran, beliau berkata kerajaan akan terus berusaha meringankan beban rakyat menerusi Belanjawan 2021 yang telah memperuntukkan sejumlah RM30.8 bilion bagi tujuan bantuan bersasar, bantuan langsung, subsidi serta sokongan lain bagi golongan memerlukan.

“Saya juga ingin menekankan mengenai satu fakta yang diperakui dalam ekonomi : dasar adalah mengenai ‘trade-offs’ (keseimbangan) dan mengenai usaha untuk menyampaikan manfaat paling besar dengan sumber sedia ada.

“Ketika segelintir pihak lebih suka membandingkan usaha Malaysia dengan negara-negara lain, kita juga perlu mengakui bahawa setiap negara itu mempunyai ciri-ciri serta dinamik sosioekonomi masing-masing dan memerlukan penyelesaian sendiri yang unik,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata salah satu sebab Malaysia dapat mengharungi kejutan COVID-19 adalah berkait rapat dengan aspek kepelbagaian ekonominya.

Pada 2020 misalnya, pertumbuhan sektor pembuatan dan eksport utama seperti keperluan atau peralatan perubatan serta elektrikal dan elektronik (E&E), dapat menampung impak ketara dialami sektor perkhidmatan terutamanya ketika sempadan antarabangsa masih ditutup.

“Bagi tempoh Januari hingga September 2020, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM109.8 bilion yang merangkumi pelaburan langsung asing sebanyak RM42.6 bilion. Kerajaan juga kekal fokus terhadap pelaburan berkualiti tinggi yang boleh diterjemah dalam bentuk pemindahan pengetahuan, pekerjaan dengan gaji tinggi serta pembangunan yang lebih mampan untuk Malaysia,” katanya.

Malah, kata Tengku Zafrul, kekuatan ekonomi Malaysia masih belum diterokai sepenuhnya termasuk kehebatan pertanian yang boleh dipertingkat menerusi teknologi pertanian, pempelbagaian tanaman serta pembangunan di peringkat hiliran.

“Kita masih belum meningkatkan kepakaran dalam teknologi hijau seperti pengeluaran panel solar dan bangunan ‘hijau’ (mengutamakan aspek alam sekitar). Kita juga mampu untuk muncul sebagai penggiat utama dalam kewangan Islam global serta pasaran halal global yang bernilai US$1.4 trilion.”

Menurutnya, seiring usaha negara untuk terus menumpukan perkhidmatan dan pengeluaran bernilai tinggi, adalah penting untuk turut memanfaatkan krisis sedia ada bagi melaksanakan penambahbaikan struktur yang diperlukan sewajarnya.

“Kita tidak harus membazirkan krisis yang baik dan perlu sentiasa berani memperbaiki diri untuk memastikan ketahanan dan ketangkasan di masa depan serta ketika persekitaran yang tidak menentu,” kata beliau.- BERNAMA