Pertubuhan Peladang

KUALA LUMPUR – Hari pertama tahun 2021 merupakan hari yang mengembirakan bagi ahli-ahli peladang seluruh negara.

Ini kerana bermula 1 hari bulan Januari 2021, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah mengembalikan kuasa memilih pemimpin peladang kepada ahli-ahli.

Pemimpin Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) negeri-negeri dan ahli jemaah pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berkata, ahli-ahli peladang mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee kerana telah mengembalikan kuasa kepada ahli-ahli peladang memilih pemimpin mereka mulai tahun ini (2021).

Mereka ialah Pengerusi Pertubuhan PPN Sabah, Datuk Mohd.Nazri Abdullah, Pengerusi PPN Selangor, Datuk Dr Abd Rahman Bakri, Pengerusi PPN Perak, Dato’ Sham Bin Sahat, Pengerusi PPN Pulau Pinang, Dato’ Haji Ismail Umar, Pengerusi PPN Kedah, Dato’ Haji Abd Lateh Mohd Saman, Pengerusi PPN Pahang Dato’ Haji Zamri Bin Yaakob,Pengerusi PPN Terengganu, Dato’ Haji Mohd Rosli Harun, Pengerusi PPN Melaka, Encik Zaidi Bin Mohd Said Pengerusi PPN Wilayah Persekutuan Labuan, Haji Bungso Bin Mohamad, Pengerusi PPN Johor Haji Omar Bin Salleh, Pengerusi PPN Negeri Sembilan Encik Atan Bin Wahab dan Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Sylvester Entri Muran, Dato’ Indera Hj Mustaffar Kamal Bin Ab Hamid dan Dato’ Haji Ali Bin Shikh Ahmad.

“Warga peladang menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dr. Ronald Kiandee dan Kerajaan Persekutuan kerana mewartakan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2020
(FARMERS’ ORGANIZATION (AMENDMENT) REGULATIONS 2020).

“Peraturan itu yang telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 14 Disember 2020 dan akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

“Pewartaan peraturan itu membuktikan pemimpin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendengar suara ahli-ahli peladang akar umbi yang mahukan Ahli Jemaah Pengarah dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan”, kata mereka dalam kenyataan bersama, hari ini.

Menurut mereka, dibawah Peraturan-Peraturan
Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2020 yang diwartakan itu, pindaan telah dibuat dalam peraturan 35 (1) (a) iaitu bagi setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) hendaklah
terdiri daripada sebelas orang ahli yang dipilih dalam Mesyuarat Agong Tahunan.

“(i) dua orang ahli daripadanya hendaklah merupakan Peladang Muda; dan (ii) dua orang ahli daripadanya hendaklah merupakan Peladang Nita;

“(b) bagi setiap Pertubuhan Peladang Negeri, hendaklah terdiri daripada tiga belas orang. (i) sebelas orang ahli daripadanya hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Agong Tahunan.
(A) seorang ahli daripadanya hendaklah merupakan Peladang Muda; dan (B) seorang ahli daripadanya hendaklah
merupakan Peladang Nita; dan “(ii) dua orang daripadanya hendaklah dilantik oleh Menteri. (A) seorang daripadanya hendaklah merupakan wakil daripada kementerian yang bertanggungjawab bagi pertanian dan industri makanan; dan (B) seorang daripadanya hendaklah merupakan pakar dalam bidang perniagaan pertanian; dan

“(c) bagi Pertubuhan Peladang Kebangsaan, hendaklah terdiri
daripada tujuh belas orang-(i) sebelas orang ahli daripadanya hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Agong Tahunan; dan
(ii) enam orang daripadanya hendaklah dilantik oleh Menteri.”, jelasnya.

Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2020 juga menyatakan bahawa:

“(2) Pengerusi Jemaah Pengarah mana-mana Pertubuhan Peladang hendaklah dipilih melalui suatu undian majoriti daripada jumlah ahli Jemaah dalam mesyuarat pertama Jemaah Pengarah itu dan jika terdapat bilangan undi yang sama banyak, calon-calon yang mempunyai undi yang sama banyak hendaklah mencabut undi untuk menentukan siapa yang akan menjadi pengerusi.

“(8) Kuorum bagi apa-apa mesyuarat Jemaah Pengarah hendaklah terdiri daripada yang berikut: (a) lima orang bagi suatu Pertubuhan Peladang Kawasan; (b) tujuh orang bagi suatu Pertubuhan Peladang Negeri; dan (c) sembilan orang bagi Pertubuhan Peladang Kebangsaan.”

Mereka berkata, PPPP (Pindaan) 2020 juga menjelaskan bahawa Ahli Jemaah Pengarah yang sedia ada yang dipilih dalam Mesyuarat Agong Tahunan atau dilantik oleh Menteri di bawah subperaturan 35(1) Peraturan-Peraturan ibu sebaik sebelum Peraturan-Peraturan ini mula berkuat kuasa hendaklah disifatkan telah dipilih atau dilantik di bawah Peraturan-Peraturan ini dan hendaklah terus memegang jawatan sehingga habis tempoh pemilihan atau pelantikan mereka seolah-olah Peraturan ibu tidak dipinda oleh Peraturan-Peraturan ini.

“Apa-apa perbuatan yang dilakukan, tindakan yang diambil atau keputusan yang dibuat oleh ahli Jemaah Pengarah yang disebut dalam subperaturan (1) sebaik selepas Peraturan-Peraturan ini mula berkuat kuasa hendaklah disifatkan sah dan boleh diteruskan dengan sewajarnya oleh ahli Jemaah Pengarah”, tegas mereka.

Ketiga-tiga peringkat PP akan mengadakan Mesyuarat Agong pemilihan pada tahun ini.- MalaysiaGazette