Gambar hiasan

JOHOR BAHRU, 3 Jan – Banjir di Johor kini menjejaskan tujuh daerah dengan jumlah mangsa meningkat kepada 5,818 orang daripada 1,540 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,780 mangsa daripada 500 keluarga, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata Mersing dan Pontian menjadi daerah terbaharu terjejas banjir menyusuli Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Batu Pahat.

Beliau berkata, sebanyak 28 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan keseluruhan 56 PPS beroperasi setakat pagi ini iaitu dua di Mersing, Pontian (satu), Kluang (19), Kota Tinggi (14), Johor Bahru (13), Kulai (lima) dan dua di Batu Pahat.

“Di Mersing, seramai 57 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu dan SK Air Papan, pagi tadi. PPS SK Tenglu menempatkan 16 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Tenglu, manakala 41 mangsa daripada 10 keluarga dari Kampung Air Papan ditempatkan di PPS SK Air Papan.

“Sementara di Pontian, enam mangsa dari satu keluarga dari Kampung Ulu Pulai ditempatkan di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai yang dibuka pukul 10 malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata setakat ini lima PPS sedia ada merekodkan peningkatan jumlah mangsa dengan Kluang seramai 1,826 mangsa, Kota Tinggi (868), Johor Bahru (2,452), Kulai (581) dan Batu Pahat (28).

Katanya, laluan FT003 (Jalan Johor Bahru-Kota Mersing) kini ditutup kepada semua kenderaan berikutan ditenggelami air dengan kedalaman 0.2 meter. – MalaysiaGazette