Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Peringat dan Mukim Kota, Daerah (Jajahan Kota Bharu) bermula esok sehingga 17 Januari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPB itu dibuat atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelas beliau, ia bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kedua-dua mukim itu.

“KKM hari ini melaporkan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di Daerah Kota Bharu.

“Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes yang ketara di dua mukim iaitu Mukim Peringat dan Mukim Kota.

“Dua mukim ini telah menyumbangkan kes tertinggi di daerah Kota Bharu yang melibatkan dua kluster utama iaitu Kluster Halban dan Kluster Pintu Geng,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail memberitahu, Sejak 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 96,924 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa .

Kata beliau, kesemua mereka telah ditempatkan di 76 Hotel dan 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,490 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 88,894 individu telah dibenarkan pulang,” katanya. – MalaysiaGazette