Samsons kini muncul dengan album kelima berjudul V.

KUALA LUMPUR – Lagu Kenangan Terindah yang dipopularkan oleh kumpulan muzik Indonesia, Samsons kekal menjadi ‘evergreen’ dan siulan ramai sehingga mencapai lebih 80 juta tontonan dalam laman YouTube sejak dilancarkan pada tahun 2014.

Kini, kumpulan dianggotai Ariadinata sebagai penyanyi, Irfan Aulia sebagai pemain gitar, Erik Partogi Siagian sebagai pemain gitar dan Aldri Dataviadi sebagai pemain bass kembali dengan album terbaharu berjudul V.

Sesuai dengan judulnya V yang dalam angka Roman bermaksud lima, ia merupakan album kelima, selepas album terakhir mereka pada tahun 2013 berjudul Perihal Besar.

Selepas itu mereka hanya melahirkan tiga buah single setiap tahun sejak 2016 iaitu ‘I Love You’. “Cinta Mati’ dan ‘Tuhan Tak Pernah Salah’ namun kesemuanya tidak mampu melawan populariti ‘Kenangan Terindah”.

Menariknya album kelima kumpulan yang lebih dari 17 tahun mengharungi industri muzik sejak kemunculan mereka pada tahun 2003 di Jakarta, Indonesia ini, Samsons kembali membawakan pengisian sentuhan orkestra menampilkan 55 pemain muzik oleh Budapest Scoring Symphony Orchestra.

Samsons kekal popular dengan lagu Kenangan Terindah.

Kali terakhir, mereka melibatkan Sydney Philharmonic Orchestra ketika menerbitkan album kedua pada 2007 berjudul ‘Penantian Hidup’.

Justeru nuansa muzik yang disajikan mereka pada album terbaharu dan yang kelima ini terasa sangat megah dengan isian bunyi dari orkestra Budapest yang terdiri dari 40 pemain ‘strings’,  tujuh  pemain ‘woodwinds’,  tujuh pemain brass dan seorang percussionis di mana mereka ini berpengalaman membuat ‘scoring’ untuk filem-filem Hollywood.

Album V terbitan Universal Music Indonesia ini mengandungi 12 buah lagu yang disajikan oleh Samsons bagi para penggemarnya waima ada antaranya telah diterbitkan sebagai single antaranya seperti lagu ‘I Love You’, ‘Cinta Mati’, ‘Ternyata Cinta’ dan ‘Tuhan Tak Pernah Salah’  selain lagu baharu seperti ‘Jika  Nanti’.

Bagi yang mahu menikmatinya boleh mendengarnya dalam semua platform muzik digital dan YouTube Samsons. – MalaysiaGazette