KUALA LUMPUR – UMNO perlu menjadikan pengalaman dilayan seperti ‘anak tiri’ selama 10 bulan lalu sebagai pengalaman untuk kembali bangkit menjadi parti yang berperanan besar dan dominan.

Bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak berkata, apa yang perlu ada ialah mentaliti kemenangan dalam kalangan ahli parti untuk terus bergerak ke hadapan khususnya bersedia berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Mentaliti kemenangan ialah mentaliti di mana kita membuat keputusan bahawa UMNO akan kembali menerajui kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin UMNO sebelum Mei 2018.

“Hanya dengan mentaliti kemenangan ini maka kita akan dapat bergerak ke hadapan, bukan statik atau lebih dahsyat lagi berundur ke belakang. Kita harus sedar bahawa sekadar beraktiviti dan bermesyuarat tidak boleh disamakan dengan perubahan dan kemajuan.

“Apakah alternatif kepada mentaliti kemenangan ini, alternatifnya ialah kekalahan berterusan dan keadaan “tidak di sini dan juga tidak di sana,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan Tahun 2020 hari ini.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Pekan itu, ahli UMNO harus sedar bahawa sejak penubuhannya, UMNO ialah parti peneraju, parti yang memimpin.

Jika diambil ambil apa yang berlaku sepanjang 10 bulan ini dan menerimanya sebagai kebiasaan atau realiti baru maka ahlinya sebenarnya ‘membunuh’ UMNO secara perlahan-lahan, ujarnya.

Tambah beliau, jika UMNO berterusan seperti hari ini iaitu hanya menjadi salah satu komponen parti pemerintah yang walaupun memainkan peranan besar bagi mendokong hidup kerajaan yang ada tetapi dilayan ibarat “anak tiri”, maka tunggulah pengakhiran UMNO.

Berikutan itu, Najib menyifatkan tahun 2021 sebagai tahun yang penting untuk UMNO kembali menjadi parti yang dominan dan memimpin pentadbiran negara.

“Tahun 2021 yang amat penting, yang akan merupakan tahun kebangkitan semula UMNO sebagai teras dan tunjang parti dominan tanah ari kita.

“Inilah komitmen kita, kita akan terus mengekalkan azam dan tekad walaupun hari ini kita tidak dapat bersidang sepenuhnya kerana keadaan tidak mengizinkan tapi saya harap tetap semangat dan mentaliti untuk menang dan juga hasrat kita untuk menjadikan UMNO bukan parti yang mengikut atau parti yang dipimpin tetapi parti yang memimpin, parti keramat kita, waima apa sekalipun kita mesti kembali sebagai parti peneraju dan parti utama, parti dominan di tanah Melayu,” tambahnya.

Kata beliau, UMNO tidak perlu rasa rendah diri apatah lagi parti itu mempunyai penyokongnya tersendiri.

Bagaimanapun Najib memberitahu, UMNO perlu berani mengambil risiko, mengubah strategi sekiranya rancangan sedia ada tidak berkesan.

Ujarnya, parti tersebut perlu berani mengambil kedudukan yang layak sebagai peneraju pemimpin, sekali gus menghentikan layanan buruk yang diterima sejak beberapa bulan lalu.

“Untuk menang kita mesti berani mengambil risiko yang wajar, kita mesti berani mengenal pasti masalah dan cara menyelesaikannya. Kita juga mesti berani untuk merubah taktik dan strategi di tengah jalan jika taktik dan strategi sedia ada tidak berkesan.

“Ya UMNO semakin kuat tetapi kita sedang mengalami penyakit kronik “tidak di sini dan tidak juga di sana, asal ok-ok”,” katanya.

Tambah beliau, sebagai sebuah parti UMNO tidak berani mengambil risiko yang perlu untuk mengambil kedudukan yang selayaknya sebagai parti peneraju yang memimpin dan sebaliknya sanggup dilayan dengan buruk ibarat melukut di tepi gantang walaupun jika ia bersatu dan menarik sokongan kerajaan yang ada akan jatuh.-MalaysiaGazette