Syamira Safiya.

KUALA LUMPUR – Wanita yang didakwa memfitnah pengacara, Neelofa iaitu Syamira Safiya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di Instagram miliknya.

Menerusi kenyataan maaf secara terbuka tersebut, Syamira mengakui memuat naik status Twitter dan pelbagai platform media sosial lain tanpa asas dan tidak benar pada 26 Disember lalu.

“Saya, Syamira Safiya dengan ini menarik balik kenyataan yang saya buat terhadap Cik Neelofa serta pembantu peribadi beliau, Nadiah Khairuddin dalam Twitter dan pelbagai platform media sosial pada 26 Disember 2020 lalu.

“Saya mendakwa dan membuat kenyataan tanpa asas dan itu adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Syamira menegaskan dia tidak berniat jahat ketika menulis kenyataan berkenaan, sekali gus kesal dengan tindakannya.

“Kenyataan itu tidak dibuat dengan niat jahat untuk berbohong atau mencemarkan nama baik mereka.

“Saya juga amat kesal kerana tindakan peribadi ini menimbulkan rasa malu, sedih dan membawa kesusahan kepada mereka,” katanya.

Permohonan maaf secara terbuka itu dmuat naik Syamira dalam satu hantaran Instagram.

Sementara itu, Syamira memberitahu, permohonan maaf itu dibuat atas kerelaan hatinya sendiri.

“Permohonan maaf ini saya buat atas kerelaan hati saya sendiri untuk saya memperbetulkan keadaan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak,” ujarnya.

Syamira sebelum ini berkongsi beberapa cerita yang disertakan dengan tangkap layar mesej daripada aplikasi WhatsApp mengenai hubungan Neelofa dan PU Riz dan beberapa dakwaan menjatuhkan imej dua selebriti itu.

Kosmo! pada 27 Disember 2020 lalu melaporkan Neelofa menafikan tuduhan yang mendakwa kononnya sudah bernikah di Kelantan, terkena minyak pengasih dan memindahkan sejumlah duit yang banyak kepada pendakwah muda itu.

Terdahulu, hubungan Neelofa dan PU Riz kecoh dalam media sosial selepas didakwa berantakan malah, ahli keluarga Neelofa juga turut memuat naik kata-kata berbaur sindiran dalam Instagram masing-masing. – MalaysiaGazette