Asap tebal menyelubungi ruang udara Perth yang disebabkan oleh hutan terbakar. foto Guardian.
PERTH – Beberapa kebakaran hutan besar mengancam nyawa dan kediaman melanda di negeri Australia Barat hari ini dan amaran telah dikeluarkan untuk Perth.
Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan (DFES) mengeluarkan amaran untuk Spectacles, Orelia, Medina, Pangkalan Tentera Laut, Postans, Pantai Kwinana dan Hope Valley di bandar Kwinana.
Kawasan pembuangan sampah industri antara yang terjejas akibat kebakaran itu, menyebabkan asap berbahaya yang dikhuatiri boleh menimbulkan ancaman kepada kesihatan awam.
Penduduk diminta untuk berada di dalam rumah dan berlindung sementara, sebelum diarahkan berpindah.
“Sudah terlambat untuk berpindah, meninggalkan kediaman sekarang membahayakan nyawa penduduk kerana asap tebal juga dari kawasan pembuangan sampah,” kata DFES dalam satu kenyataan.
Penduduk di kawasan berdekatan diberitahu supaya memerhati dan bertindak jika kebakaran semakin merebak keselatan dan tenggara kawasan metropolitan Perth yang lebih besar.
Kebakaran yang semakin besar akan menyukarkan tugas anggota bomba disebabkan faktor cuaca bagi sebahagian kawasan di Perth Metropolitan dan Great Southern.
Biro Meteorologi (BoM) meramalkan angin bertiup rata-rata 50 hingga 60 km/jam dengan maksiumum hingga 90 km/ jam.
“Sistem tekanan tinggi yang kuat di selatan negeri ini akan mengakibatkan angin kuat melintasi Darling Escarpment dan kaki bukit,” kata BoM dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette