Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kelulusan bersyarat terhadap vaksin Covid-19 keluaran Pfizer dan BioNTech boleh diberikan menjelang akhir Februari ini.

Proses vaksinasi pula mungkin boleh bermula seawal Mac depan, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan itu menegaskan, ia bergantung kepada secepat mana maklum balas diterima daripada syarikat pengeluar vaksin berkenaan mengenai segala persoalan dan isu dibangkitkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Kami menjangkakan kelulusan (bersyarat) terhadap vaksin mungkin menjelang akhir Februari dan vaksinasi mungkin bermula pada Mac.

“Ia bergantung kepada jawapan daripada syarikat pengeluar vaksin dan akan membuat keputusan selanjutnya selepas itu,” katanya pada sidang media Covid-19 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham memaklumkan, pihaknya sedang memperkemaskan kriteria bagi mengasingkan individu yang positif Covid-19 tahap satu dan dua untuk kuarantin di rumah.

Ujarnya, sehingga kini perkembangan kes harian menunjukkan kes tahap satu dan dua ialah 89 hingga 90 peratus.

“Kita akan lihat kriteria dan memperkemaskannya bagi melihat kes ini untuk dikuarantin dan diasingkan di rumah, mereka ini adalah tidak mempunyai gejala.

“Ketika ini berlaku kelewatan petugas kesihatan untuk membawa kes positif susulan pertambahan kes harian yang tinggi, kita mempunyai kemampuan yang terhad yang mana hari ini kadar kebolehjangkitan adalah 22,000 dan kemampuan kita adalah 23,000,” jelasnya.

Mengulas berhubung tempoh kuarantin yang dipendekkan dari 14 hari ke 10 hari, Noor Hisham berkata, banyak negara sudah menggunapakai kaedah berkenaan.

“Kebanyakan kes dikesan positif adalah dari hari ketiga hingga kelima, banyak negara juga sudah memendekkan tempoh kuarantin berkenaan ada juga yang memendekkan kuarantin sehingga tujuh hari.

“Bagi varian baru yang dikesan, tidak ada laporan yang mengatakan tempoh inkubasi adalah 21 hari, namun jika itu berlaku hari ke-10 kuarantin boleh mengesan virus berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai pesakit yang didiscaj tanpa melakukan saringan kedua, Noor Hisham berkata, ia berikutan kadar kebolehjangkitan adalah sudah berkurangan.

“Kalau kita lihat perkembangan iaitu dari hari pertama Covid-19 dikenal pasti, kita menjalankan dua saringan, saringan mesti negatif dua kali iaitu dalam tempoh 72 jam dan perlu kuarantin lebih dari 14 hari.

“Namun kini berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) kita sudah boleh benarkan pesakit di discaj tanpa saringan kedua ia kerana kadar kebolehjangkitan sudah berkurangan atau sudah tiada,” jelasnya. – MalaysiaGazette