Tan Sri Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan telah menetapkan 25 Januari ini sebagai tarikh mendengar permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyingkirkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai kes pendakwaan terhadapnya.

Ini berikutan bukti tambahan yang akan dikemukakan oleh Muhammad Shafee melalui bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul memberitahu FMT, ia merupakan tarikh yang telah dipersetujui dihadapan Timbalan Pendaftar, Darmafikri Abu Adam dan turut dihadiri peguam Muhammad Shafee, Sarah Abhishegam.

Afzainizam mendedahkan tarikh prosiding rayuan bagi Muhammad Shafee terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2019 itu belum ditetapkan kerana rekod rayuan dan bahan bukti perlu diperkemaskan.

“Timbalan pendaftar menetapkan satu lagi pengurusan kes pada 14 Jan. Harap-harap isu itu akan diselesaikan sebelum itu,” katanya hari ini.

Gopal Sri Ram

Muhammad Shafee yang merupakan peguam terkenal yang turut mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ini sedang berhadapan dengan dakwaan penggubahan wang bernilai RM9.5 juta.

Wang tersebut didakwa telah diterima daripada Najib antara tahun 2013 dan tahun 2014.

Selain Apandi Ali, Muhammad Shafee juga mahu mengemukakan surat pelantikan Gopal Sri Ram sebagai pendakwa ad-hoc.

Juga akan dikemukakan afidavit bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dan Sri Ram sendiri dalam prosiding semakan kehakiman.

Pendedahan Apandi adalah berhubung perbualan antaranya dan Sri Ram di kediaman bekas peguam negara itu pada Jan 2018.

Mohamed Apandi Ali

Muhammad Shafee berkata, bukti tambahan itu belum diperoleh pada 2019 ketika Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menggugurkan Sri Ram yang juga bekas hakim daripada barisan pendakwaan.

Pada 23 April 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah memutuskan tiada merit untuk mencadangkan Sri Ram mempunyai konflik kepentingan atau akan bersifat berat sebelah terhadap Muhammad Shafee. -MalaysiaGazette