Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Adakah kerana saya bercakap berdasarkan kehendak parti, maka saya dituduh membelakangkan parti dan memihak kepada orang lain?

“Adakah kerana ‘perbezaan’ pandangan antara saya dengan pucuk pimpinan parti, maka ada ‘akar umbi’ kemukakan usul supaya saya dipecat?

“Kalau nak pecat, silakan. (Kalau akar umbi) nak pertahankan mereka yang nak bawa parti sokong DAP dan Anwar, (pun) silakan,” demikian tegas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, beliau bersedia dipecat sekiranya kritikannya berhubung isu penyatuan Melayu dan Islam tidak disenangi ahli serta pemimpin akar umbi.

Katanya, beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung BN, bukan Setiausaha Agung UMNO dan setiap kenyataannya adalah selepas berbincang dengan Pengerusi (BN).

“Tugas dan tanggungjawab saya besar. Saya diminta menyelesaikan perkara-perkara tertentu yang sememangnya tidak boleh dikongsi dengan khalayak.

“Begitu juga di saat pembentukan kerajaan di Sabah, saya juga diarah untuk membuat rundingan tertentu. Itu saya lakukan, tapi ianya tidak dikongsikan perinciannya kepada umum. Saya fahami tugasan saya.

“Tetapi, ada pihak tertentu dalam parti, turun ke akar umbi mengkritik saya kononnya saya mendahului Presiden (UMNO) dan Pengerusi (BN). Ini ditanya sendiri oleh akar umbi kepada saya, kenapa saya cakap seperti mendahului pemimpin,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, beliau hampir 30 tahun berjuang dalam UMNO dan memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Jelasnya, dahulu Ahli MT saling hormat menghormati sama lain, tetapi sekarang sudah jauh berbeza, iaitu menyerang sesama sendiri.

“Malah, ada yang sudah bekas pun ambil bahagian bercakap seolah mempunyai kuasa dan hak dalam parti (untuk bercakap).

“Saya bimbang tengok suasana politik mutakhir ini. Seolah ada individu serang secara terbuka, malah akhir-akhirnya menjadi pelik, kita dikritik oleh akar umbi kerana termakan dengan hasutan sesama sendiri.

“Saya fikir kita kena urus parti kita dengan baik, kita tidak boleh beri satu pihak sahaja bercakap. Saya tengok parti lain okey saja, tidaklah sampai 10 orang bercakap,” katanya.

Annuar yang juga Ahli MT UMNO berkata, beliau tetap mempertahankan keputusan parti iaitu No DAP, No Anwar.

Ini kerana, katanya, beliau tegas mahu UMNO yang memimpin muafakat parti Melayu dan Islam serta menolak perpecahan ummah.

Beliau dipercayai menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali yang mengusulkan supaya Annuar yang merupakan Menteri Persekutuan dipecat daripada parti.

Antara lain, Muhammad Saifullah turut mendakwa Annuar sebagai tali barut dan jurucakap kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengulas lanjut, Annuar berkata, UMNO seperti tidak mengambil iktibar dari kekalahan pada 2018 dan seolah lupa bahawa perpecahan itu akan membawa kepada keruntuhan.

“Saya tengok kita seperti nak berpecah semula, sedangkan kita tahu perpecahan itu menyebabkan kita jatuh,” ujarnya. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Pigidah mabuk!
    Tak abis-abis duk ratib “perpaduan” dan “Bersatu”.

    Perlu diajar dlm PRU nanti.

Comments are closed.