Shamsul Anuar Nasarah
KUALA LUMPUR – Orang ramai yang berada di kawasan berisiko seperti kawasan yang pernah mengalami tanah runtuh supaya peka dengan keadaan sekeliling.
Antaranya yang perlu diberi perhatian ialah berlakunya runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok atau tiang rumah serta kesan-kesan bonggol, rekahan atau mendapan pada jalan dan pokok-pokok yang berterusan condong.
Sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya ancaman tanah runtuh, orang ramai diminta menghubungi pihak berkuasa untuk memberi maklumat atau mendapatkan bantuan.
Menteri Tenaga dan Alam Sekitar, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kementeriannya bersedia memberi khidmat kepakaran teknikal bagi penilaian ancaman tanah runtuh dan ia  boleh dilakukan dengan menghubungi talian 05–5406000 atau 019-3894757
Menurutnya, amaran cuaca buruk dan waspada serta keadaan hujan lebat berterusan di kebanyakan negeri di Malaysia berikutan monsun timur laut yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia mampu mencetuskan risiko bencana tanah runtuh di kawasan berbukit tinggi, bercerun dan laluan di mana sistem perparitan tidak diselenggarakan dengan baik.
Risiko bencana tanah runtuh boleh berlaku secara mendadak atau berperingkat-peringkat dalam skala kecil atau besar.
Kata beliau, hasil kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) melalui Projek Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC), faktor geologi, sudut cerun, kawasan tadahan dan saliran, kerja pemotongan lereng bukit yang tidak terkawal dan pembersihan hutan atau ladang telah dikenalpasti sebagai kawasan-kawasan yang terdedah kepada risiko bencana tanah runtuh.
Bagi mengelakkan aktiviti seumpama ini berlaku, penebangan pokok di kawasan-kawasan khususnya Hutan Simpan Kekal (HSK) dan kawasan yang dikelaskan sebagai kawasan tadahan air di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] tidak dibenarkan.
Dalam hal ini, kementerian melalui JMG selaku agensi yang bertanggungjawab menyediakan maklumat pengurangan risiko bencana tanah runtuh telah meningkatkan tahap kerjasama dan khidmat sokongan kepada agensi pengurusan tindak balas bencana seperti Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah/Negeri.
JMG telah menempatkan pegawai bagi membantu agensi responder seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Malah, katanya, JMG juga telah menggerakkan response team ke tempat berlakunya kejadian tanah runtuh khususnya di Fraser Hill dan Jalan lama Raub – Bentong bagi membuat penilaian risiko di lapangan.
Di Bukit Fraser, sebanyak 139 runtuhan di sepanjang laluan naik dan turun dengan 60 runtuhan dilaporkan menghalang laluan.
Sementara itu, Jalan Lama Raub-Bentong dilaporkan masih ditutup akibat tanah runtuh dan response team JMG dalam tindakan untuk memasuki kawasan bagi membuat penilaian risiko di lapangan.
Di samping itu, JMG telah menjalankan pemantauan tiga kali setahun bagi cerun-cerun kritikal yang memerlukan tindakan segera khususnya di Cameron Highland, yang mana sebanyak 31 cerun kritikal tersebut telah dibuat mitigasi dengan pelaksanaannya dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM31.74 juta dan kerja-kerja mitigasi diteruskan.
JMG, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kerja-kerja pemetaan kerentanan risiko tanah runtuh pada tahun 2021 dengan peruntukan sebanyak RM758,000 bagi penyelesaian menyeluruh isu-isu tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. – MalaysiaGazette