Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar tidak bersetuju dengan usul mahu memecat Tan Sri Annuar Musa daripada UMNO.

Beliau yang membantah usul Pemuda UMNO Pasir Puteh berkata, parti itu tidak perlu memecat Annuar semata-mata hanya kerana Ahli Parlimen Ketereh berbeza pendapat dengan pucuk pimpinan dan suara akar umbi.

“Sebagai sebuah parti yang pernah kalah dan ditolak rakyat seharusnya pimpinan UMNO belajar dari pengalaman silam.

“Antara punca UMNO kalah dahulu kerana mengamalkan politik sempit yang menghukum kepada mana-mana pemimpin yang dilihat tidak sehaluan dengan pucuk kepemimpinan atau yang berani menegur untuk kebaikan parti.

“Saya bukan menyokong semua kenyataan yang dibuat oleh Annuar tetapi lebih baik ada pimpinan yang berani bercakap benar ke arah kebaikan UMNO.

“UMNO perlu ada pimpinan yang pelbagai corak. Pimpinan yang boleh memberi pandangan dan yang boleh menerima pandangan.

“Adakah bercakap dengan nada yang tidak seiring dengan kemahuan yang ramai dalam UMNO sudah dianggap menjadi satu kesalahan?” katanya menerusi hantaran dilaman Facebook beliau, hari ini.

Media semalam melaporkan Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali, mengusulkan supaya Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), dipecat daripada parti itu.

Muhammad Saifullah dipetik sebagai berkata, UMNO perlu mengambil tindakan tegas dengan memecat keahlian Annuar selepas beliau dilihat menjadi jurucakap kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Justeru, Rizalman menegaskan, agar budaya menghukum seseorang pemimpin atau ahli UMNO yang tidak sebulu dengan pimpinan tertinggi wajar dihentikan.

“Saya harap budaya menghukum ini perlu dihentikan. Kalau tidak bersetuju perlu ada adabnya dan kalau tidak suka perlu ada sempadannya.

“Pada saya, Annuar mempunyai gaya dan corak yang tersendiri untuk membantu memperkukuhkan UMNO,” ujarnya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Yer…tak payah pecat…patut keluar je mcm Tok Pa Katak tu…meluat sungguh tengon Anuar Musa ni…lebih sudu dari kuah

  2. Annuar Musa sepatutnya ambik maklum dan letak jawatan tertinggi parti secara sukarela. Tak perlu tunggu usul akar umbi.

    Kecuali kalau mmg muka tak tahu malu dan tebal. Lebih baik umum shj keluar parti atau pencen politik. Kamu pun dah lama pegang jawatan dlm parti, bagilah org muda pula.

Comments are closed.