Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR –  Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menafikn syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu enggan membayar kontraktor yang terlibat dalam pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Beliau sebaliknya berkata, Prasarana telah membayar RM3.468 bilion pada Oktober lalu kepada MRCB-Gorge Kent selaku kontraktor utama.

Jumlah itu ujarnya adalah daripada kos keseluruhan projek iaitu  RM11 bilion.

“Kita dah bayar, bukan amaun kecil. Setiap kali mereka buat tuntutan kita bayar, kita tidak banyak kira.

“Yang masih tertangguh kemudian, bayaran kita hingga 2 Oktober, mana ada tangguh sampai 6 hingga 7 bulan, atau  setahun,” katanya ketika sidang media hari ini.

Jelas Tajuddin, pembayaran kepada subkontraktor MRCB-George Kent pula sepatutnya tanggungjawab syarikat itu bukannya Prasarana.

“Mereka kontraktor besar yang menjalankan projek RM11bilion. Mereka mesti ada modal untuk bayar kerja yang dijalankan subkontraktor.

“Ini dia tiada duit dia suruh kontraktor buat rungutan ke sana sini.

“Mereka sepatutnya cukup modal, kalau saya cakap banyak, mereka itu syarikat tersenarai, saya tak nak jatuhkan imej dan reputasi syarikat kontraktor. Saya tak nak buat macam itu tetapi kita dah bayar,” katanya lagi.

Tajuddin sebeum ini didakwa cuba menahan bayaran kepada MRCB-GK malah mendedahkan MRCB-GK cuba menekan subkontraktor dengan menangguhkan pemeteraian kontrak termasuklah mengurangkan nilai yang patut dibayar.

Menurutnya, kontraktor yang dilantik itu sebelum ini sudah menandatangani perjanjian dengan Prasarana namun mereka perlu menandatangani kontrak baru dengan MRCB-GK selepas syarikat itu dilantik sebagai kontraktor utama.

“Saya terima banyak rungutan kerja sudah buat dekat setahun tapi tak tandatangan kontrak lagi. Sebahagian mereka kontraktor bumiputera.

“Saya sebagai pengerusi takkan nak duduk diam dan benarkan benda itu berlaku, dari segi menandatangani perjanjian kontrak baru dengan kontraktor utama dilewatkan,” kata Tajuddin.

“Nilai kontrak mereka juga cuba nak diubah, nak dikecilkan supaya mereka siapkan kerja dengan kos rendah. Ini tidak adil kepada sub kontraktor, takkan saya sebagai pengerusi nak duduk diam, saya mesti masuk campur,” jelas beliau.

Terdahulu media melaporkan, pengurusan tertinggi 17 kontraktor dan firma perunding yang terlibat dalam projek LRT3 meminta bantuan kerajaan kerana mereka berhutang lebih RM700 juta untuk kerja yang dilakukan sejak Julai dan jumlah ini dijangka mencecah RM1bilion bulan ini.

Mereka kemudian menghantar surat kepada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mendakwa Prasarana belum membayar untuk kerja-kerja LRT3 dari Julai hingga Disember.

Mengulas mengenai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Nizam Alias yang digantung tugas bermula 27 November lalu, Tajuddin berkata, keputusan itu dibuat oleh lembaga pengarah atas alasan salah laku dan keingkaran.

Prasarana akan menubuhkan Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada anggota lembaga pengarah bagi menjalankan siasatan terhadap Nizam.

“Ahli lembaga pengarah pada 27 November minta beliau bercuti disebabkan dakwaan terhadap misconduct dan insubordination. Beliau diminta bercuti dan lembaga pengarah buat keputusan arahkan bahagian sumber manusia keluar surat tunjuk sebab kepada beliau dan beliau diminta menjawab,” katanya lagi.

Katanya, Nizam telah menjawab menjawab surat tunjuk  untuk diteliti oleh Jawatankuasa Khas Prasarana.

“Keputusan ahli lembaga pengarah untuk  berlaku adil dan mematuhi prosedur dalaman di mana lembaga pengarah buat keputusan tubuh jawatankuasa khas terdiri daripada tiga ahli lembaga pengarah bagi mengkaji dan teliti tuduhan dan jawapan diterima. Ia baru ditubuhkan.

“Bila ada kes macam itu tentulah penggantungan tugas tindakan normal. Macam mana pun beliau masih menikmati manfaat gaji daripada syarikat sepanjang siasatan berjalan,” jawabnya.- MalaysiaGazette