KUALA LUMPUR – Ben’s Independent Grocer (B.I.G) dan pasar raya Village Grocer mensasarkan untuk menghindari 30 juta penggunaan plastik sekali guna pada tahun ini.
Inisiatif itu melibatkan penghindaran beg plastik sekali guna untuk hasil segar buah-buahan dan sayur-sayuran.
Untuk itu, penggunaan beg jaring yang boleh digunakan semula untuk menggantikan beg plastik bagi membungkus bahan makanan yang ditimbang akan digunakan.
Langkah yang dilakukan oleh The Food Purveyor (TFP), pengendali pasar raya Village Grocer dan B.I.G), bagi menghentikan penggunaan plastik sekali guna di semua pasar rayanya dan memberi tumpuan mempromosikan bahan alternatif yang boleh digunakan semula dan mampan untuk mendorong perubahan tingkah laku jangka panjang.
Kajian yang dilakukan WWF memaklumkan, Malaysia menduduki tempat kedua tertinggi di Asia Tenggara dalam keseluruhan sampah yang dihasilkan.
Manakala Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) berkata, purata rakyat Malaysia menggunakan 300 beg plastik setahun.
”Beg plastik yang digunakan untuk membawa buah-buahan dan sayur-sayuran segar sering digunakan sekali dan kemudian dibuang tanpa difikirkan lanjut atau digunakan semula, menjadikan ia barang habis pakai yang berbahaya kepada alam sekitar.
”Kami menangani masalah ini dengan menawarkan buah-buahan dan sayur-sayuran tanpa dibungkus plastik dan menggantikan pembungkus plastik yang sekali guna dengan bungkusan mesra alam,” katanya.
TFP, ujar beliau, akan memberi ganjaran 50 mata Bites (bersamaan 50 sen) setiap kali mereka melakukannya.
Tahun lepas, katanya, TFP berjaya menghindari keperluan 6 juta beg pembawa plastik hasil daripada insiatif tiada beg plastik sekali guna.
Tahun ini, pihaknya mensasarkan pengurangan 20 juta beg plastik sekali guna daripada bahan segar dan pada masa sama mencegah pencemaran plastik.
Secara keseluruhan, TFP menjangkakan pengurangan lebih daripada 30 juta pembungkusan dan beg plastik sekali pakai setahun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Geoff King.
”Inisiatif ini adalah sebahagian daripada matlamat alam sekitar syarikat ‘Bebas plastik menjelang 2023’ yang bertujuan untuk menghentikan penggunaan plastik sekali guna dari operasi perniagaan kami sebelum akhir tahun 2023,” ujarnya.
Pasar raya Village Grocer kini melaksanakan tiada beg plastik pada setiap hujung minggu dan akan menghentikan penawaran beg plastik sekali guna di kaunter pembayaran mulai 15 Februari ini.
Inisiatif ini juga menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) terutamanya SDG14 – Kehidupan Di Bawah Air. – MalaysiaGazette