Individu yang membuat perjalanan merentas negeri dari zon merah digalakkan membuat ujian Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag) secara sukarela agar dapat memastikan status kesihatan diri sendiri.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Individu yang membuat perjalanan merentas negeri dari zon merah digalakkan membuat ujian Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag) secara sukarela agar dapat memastikan status kesihatan diri sendiri.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ujian juga boleh dilakukan tiga hari sebelum individu keluar daripada kawasannya.

“Sebagai contoh sukarela kita boleh buat saringan swab test, RTK pun kita boleh buat sebelum keluar negeri kalau kita takut diri kita menjangkiti orang lain kita boleh buat ujian kepada untuk diri kita tiga hari sebelum kita keluar ke negeri lain.

“Atau apabila dari kawasan hijau ke kawasan merah selepas balik kita boleh buat ujian secara sukarela kerana setakat ini kita masih tidak akan mengubah keputusan kita ini membenarkan rentas negeri dan daerah.

“Eloklah kita sebagai individu mengambil tindakan seperti saya cakap tadi secara sukarela,” katanya menerusi sidang media perkembangan hari ke -294 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hari ke-210 PKPP dilaksanakan hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya adakah kerajaan akan menarik balik keputusan kebenaran rentas daerah dan negeri memandangkan terdapat lima kluster baharu melibatkan pergerakan itu dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.

Jelas beliau, ini kerana sehingga kini kerajaan masih kekal dengan keputusan untuk membenarkan pergerakan merentas daerah dan negeri dengan pematuhan Prosedur Opersi Standard (SOP).

Bagaimanapun KKM ujarnya sentiasa menilai risiko terhadap kebenaran pergerakan rentas negeri dan daerah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sejak 7 Disember 2020 yang lalu.-MalaysiaGazette