Daei Nan Azmie dan beberapa rakan media lain yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng Upahan.

KUALA LUMPUR – Sedar atau tidak, memang ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Kesukaran untuk meneruskan survival hidup bukan saja dirasai mereka yang terlibat contohnya dalam sektor pelancongan dan penerbangan gara-gara pandemik berkenaan malah pemain industri media juga dilihat tidak terkecuali turut sama terkesan.

Di saat majoriti bekas warga media yang lain memilih untuk memulakan bisnes kecil-kecilan bagi meneruskan survival kehidupan selepas kehilangan pekerjaan, lain pula ceritanya dengan Daei Nan Azmie dan beberapa rakan media lain yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng Upahan apabila kini memilih untuk 100 peratus mendambakan diri berkarya dengan muzik.

Mereka bukan sahaja menjadikan seni muzik sebagai survival kehidupan, namun turut terlibat dalam penghasilan gubahan lagu termasuk penggambaran muzik video bakat-bakat baharu yang berhasrat untuk berkongsi repertoir dan membina jenama masing-masing di studio muzik salah seorang anggota Geng Upahan, Tuan Haji Qayyum iaitu Sarang Suara Studio yang berlokasi di Seri Kembangan, Selangor.

Daei atau nama sebenarnya Nan Hidayat Nan Azmie berkata, pengalaman mereka selama lebih 15 tahun sebagai wartawan dan jurufoto sebelum ini akan cuba dimanfaatkan sebaik mungkin biar pun dia dan Geng Upahan tidak lagi terlibat secara langsung sebagai pengamal media.

“Kalau nak tahu, ada dalam kalangan rakan media kami yang sebelum ini kehilangan mata pencarian kini bekerja sebagai tukang kayu, tidak kurang juga ada yang berniaga burger serta pewangi kereta demi meneruskan kehidupan.

“Kami sedar bukan mudah untuk menjadikan muzik sebagai punca pendapatan tetap, tetapi apa salahnya mencuba kerana kami percaya dengan bakat seni berbeza yang dimiliki Geng Upahan di sebalik kerjaya kami sebagai wartawan dan jurufoto sebelum ini.

“Sekurang-kurangnya, kami mahu membuktikan bahawa kami tidak akan sewenang-wenangnya mengibarkan bendera putih biarpun kehilangan kerjaya, tambahan pula mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan rakan terdekat,” ujarnya.

Daei memberitahu, platform yang disediakan Sarang Suara Studio juga dilihat mampu membantu bakat-bakat baharu mengetengahkan muzik masing-masing demi menarik perhatian khalayak, sekali gus lebih dikenali serta merancakkan lagi industri muzik tanah air.

Berkongsi Langit merupakan single terbaharu Geng Upahan selepas lagu Lebih Disayang Tuhan dan Tiada Lagu Lagi.

“Selain proses rakaman dan gubahan lagu, kami juga menyediakan pelbagai perkhidmatan lain seperti pembikinan muzik video serta turut membantu dalam aspek promosi mana-mana artis baharu yang berminat menggunakan perkhidmatan kami menerusi pendekatan konvensional dan juga digital sebelum mereka dilamar mana-mana syarikat rakaman,” jelasnya.

Menurut Daei, perit jerihnya bersama Geng Upahan juga mula membuahkan hasil apabila single terbaharu mereka, Berkongsi Langit kini mula mendapat perhatian di YouTube dan tular baru-baru ini.

Berkongsi Langit merupakan single terbaharu kami selepas lagu Lebih Disayang Tuhan dan Tiada Lagu Lagi yang turut diterima baik audiens di media sosial sebelum ini.

“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan sambutan positif pendengar terhadap lagu itu biar pun Geng Upahan masih boleh dianggap hijau dalam industri muzik tanah air.

“Sebenarnya, single-single kami termasuk Berkongsi Langit pada mulanya hanya disifatkan sebagai portfolio untuk pelanggan berpotensi Sarang Suara Studio, tak sangka pula ia turut mendapat respons yang memberangsangkan di media sosial.

“Jika tertulis rezeki buat kami untuk melangkah lebih jauh, sudah tentu Geng Upahan menerima ketentuan-Nya dengan berlapang dada. Buat masa ini, kami benar-benar bahagia dan gembira dengan apa yang kami ada,” ceritanya lagi.

Bagi yang ingin mengetahui perkembangan terkini mereka bolehlah mengikuti laman Instagram masing-masing di @daei.azmie, @gengupahan dan @sarangsuara atau mendengar dan berkongsi material-material lagu nukilan mereka di YouTube: Daei Nan Azmie dan juga Sarang Suara. – MalaysiaGazette

Berkongsi Langit kini mula mendapat perhatian di YouTube.