Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sedia melepaskan jawatan sebelum 1 Februari 2021 jika keputusan itu dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau (BN) berkata, apa sahaja keputusan MT, beliau akan akur tanpa sebarang soal.
Bagaimanapun Khairy tidak dapat mengesahkan seandainya laporan media itu sahih atau tidak.
Sebaliknya kata Khairy beliau terikat kepada sebarang keputusan MT UMNO yang akan bermesyuarat esok untuk membincangkan kedudukan pemimpin UMNO memegang jawatan dalam Kerajaan Perikatan Nasional.
”Kalau itu satu keputusan oleh Majlis Tertinggi, saya akan turut perintah parti saya.
”Jika MT mahu ahlinya keluar dan letak jawatan, saya akan akur sahaja,” katanya kepada pemberita sebentar tadi ketika sidang media berkaitan vaksin di Parlimen hari ini.
Khairy mengulas laporan media bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Ahli-Ahli Parlimen UMNO meninggalkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari ini bagi mengadakan Pilihan Raya Umum secepat mungkin.
Ahmad Zahid dikatakan membuat kenyataan itu semasa perjumpaan bersama Ketua-Ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO tiada pilihan kerana kerajaan hari ini gagal memahami hati nurani rakyat yang mahukan pembaharuan dan reformasi dalam pentadbiran.
Selain itu, ada juga laporan yang belum sahih bahawa Ahmad Zahid meminta semua menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari UMNO melepaskan jawatan masing-masing sebelum 1 Februari 2021. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Adakah UMNO akan salah lagi percaturan lagi dalam menghadapi PRU. Dulu rakyat menghukum UMNO kerana di adakan PRU pada hari Rabu, Adakah kali ini dihukum kerana waktu kes Covid 19.memuncak seperti yabg berlaku pada Warisan.

Comments are closed.