Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mendedahkan harga vaksin Pfizer-BioNtech dan AstraZeneca kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, prosiding itu dijalankan atas kerelaan beliau yang mahu memaklumkan kepada PAC mengenai perolehan vaksin dan penggunaannya ke atas penduduk negara ini.

“Saya tidak dapat mengumumkan harga secara teliti bagi setiap pembelian walaupun kita sudah umum harga keseluruhan tetapi saya membuat keputusan, dalam prosiding PAC, saya sudah mendedahkan harga pembelian kita secara terperinci.

“Saya juga mendedahkan dokumen kontrak antara syarikat Pfizer dan AstraZeneca bersama dengan kerajaan Malaysia kepada PAC tadi,” katanya selepas prosiding bersama PAC selama hampir tiga jam hari ini.

Prosiding itu turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Sebelum ini, timbul rasa tidak senang beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang mempersoalkan mengapa kerajaan memerlukan RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin Covid-19 untuk 6.4 juta rakyat Malaysia.

Beliau membuat perbandingan dengan Belgium yang mana harga vaksin tersebut 20 kali ganda lebih murah.

Menurut Khairy, pihaknya akan memberi taklimat khas kepada PAC bagi memberi penjelasan terperinci mengenai pembekalan vaksin Covid-19, termasuk kos yang ditentukan oleh setiap syarikat pengeluar.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu hanya akan didedahkan kepada PAC sekiranya anggotanya boleh menerima syarat kerahsiaan yang ditetapkan oleh syarikat farmaseutikal terlibat. 

Menurut beliau, buat masa ini setiap perjanjian kerajaan Malaysia atau mana-mana kerajaan yang memeterai perjanjian tertakluk kepada syarat kerahsiaan untuk tidak mendedahkan harga kos vaksin. -MalaysiaGazette