Mangsa banjir diingatkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 ketika dalam proses pemindahan dan semasa berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mangsa banjir diingatkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 ketika dalam proses pemindahan dan semasa berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob salah satu yang telah digariskan menerusi SOP Pengurusan Bencana (Banjir) adalah penjarakan fizikal dalam bot.

“Panduan Pengurusan PPS semasa Covid-19 dan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti menjaga penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka pada setiap masa. Jadi di dalam bot tidak boleh berhimpit-himpit pakai pelitup muka dan perlu ada penjarakan fizikal, kalau diangkut naik trak tentera juga mesti ada penjarakan fizikal,” katanya ketika sidang media hari ini.

Selain perlu didisinfeksi, PPS juga kata Ismail Sabri perlu dilengkapi Kod QR MySejahtera dan setiap petugas serta mangsa banjir yang terlibat perlu menggunakan aplikasi tersebut.

“Setiap mangsa yang dipindahkan ke PPS perlu disaring dan kemudian ditempatkan dengan mematuhi aspek
penjarakan fizikal.Mangsa dikehendaki memakainya pada setiap masa. Jawatankuasa PPS boleh menempatkan ahli keluarga dalam kubikel yang sama.

“Bagi mangsa yang bergejala, mereka akan dirujuk ke klinik kesihatan dan kemudian diasingkan di ruang pengasingan khas yang disediakan,” jelasnya.

SOP terperinci berkaitan banjir tambahnya boleh dirujuk di laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berharap semua mangsa banjir berwaspada bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 dalam keadaan ini.

“Saya harap semua mematuhi SOP yang disediakan sebab kita bimbang di waktu banjir ini bukan sahaja kita mahu diri kita diselamatkan supaya tidak dihanyutkan arus deras banjir tetapi juga kita perlu mengelakkan diri kita daripada dijangkiti virus,” katanya lagi.

Beberapa negeri ketika ini sedang dilanda banjir di mana dua negeri paling terjejas teruk ketika ini adalah Pahang dan Johor.

Sehingga hari ini, seramai 13,218 mangsa banjir telah dipindahkan di Pahang manakala 5,484 mangsa lagi di Johor.-MalaysiaGazette