Annuar Musa

PUTRAJAYA – Surat sokongan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sah dan ia dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, beliau sendiri telah mengambil langkah untuk menyemak kesahihan surat sokongan berkenaan.

“Saya tahu semua sekali, dan surat ini saya sudah semak banyak pihak surat ini adalah tulen saya dalam surat ini antara perkara yang disebut adalah untuk menjatuhkan kerajaan yang ada sekarang, menukar Perdana Menteri dan menjanjikan kesetiaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tidak bincang. Majlis Tertinggi pun tidak bincang,” katanya dalam sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, perkara itu boleh mendatangkan mudarat yang perlu dielakkan oleh BN.

“Kita perlu elak perkara ini atas dasar antara dua mudarat yang mana mudarat lebih besar kita elakkan.

“Tapi oleh kerana ini adalah perkara yang paling utama perbezaan pendapat saya dengan pengerusi saya, saya terpaksa berterus terang. Kalau tidak ahli-ahli dibawah tidak faham,” katanya lagi.

Ditanya siapa diantara Majlis Tertinggi (MT) yang mengadakan perbincangan dengan kepimpinan DAP untuk mengadakan sokongan kepada Anwar, beliau bagaimanapun enggan memperincikan perkara itu.

“Saya tidak boleh spesifik, saya fikir rakan-rakan saya dalam Majlis Tertinggi boleh bincang perkara itu,” jawab Annuar lagi.

Dalam pada itu, Annuar berkata, sokongan yang dibuat Ahmad Zahid terhadap Anwar Ibrahim dan kerjasama dengan DAP merupakan perkara paling berat yang dibuat oleh parti.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak dibangkitkan oleh mana-mana Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Saya berpandangan sokongan bertulis kepada YDPA bahawa sebahagian daripada Ahli Parlimen BN sokong Anwar Ibrahim adalah perkara berat dan tidak dapat menyokong keputusan sedemikian.

“Tetapi saya dan rakan-rakan memilih untuk tidak membangkitkan perkara ini kerana kita harap ianya tidak membawa permasalahan atau konflik kepada parti.

“Namun saya tidak dapat menyembunyikan pendirian saya di mana sokongan bertulis yang dialamatkan kepada YDPA dengan menyatakan sebahagian wakil rakyat BN berjanji setia kepada Anwar Ibrahim dan menyokong kerajaan ini dijatuhkan pada saya adalah perkara yang telah berat dan saya sebagai Setiausaha Agung BN tidak dapat mendokong keputusan ini,” katanya.

Jelas Annuar lagi, pendirian yang diambil oleh Ahmad Zahid terlalu berprinsip dan melibatkan keputusan rasmi parti pada peringkat Biro Politik, Jawatankuasa Pengurusan, Majlis Tertinggi malah Perhimpunan Agung UMNO.

“Bila sokongan itu diberikan tanpa pengetahuan parti walaupun dilakukan oleh seorang pengerusi pada saya, ia perkara yang saya tidak dapat terima. Apa lagi nak laksanakan perkara tersebut,” ujar Annuar lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ya. Dengan pendedahan ini, kita tgk berani tak ahli umno especially asraf wajdi minta buat PRU secepat mungkin.
    Boleh la kita tgk ahli UMNO akar umbi nak sokong UMNO+DAP+Anwar atau nak pilih PN – UMNO.

Comments are closed.