KUALA LUMPUR – Malaysia telah merekodkan kes baharu tertinggi iaitu sebanyak 2,593 kes yang menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 125,438 kes kesemuanya.
Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 24,347 kes.
Daripada jumlah kes baharu berkenaan, empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,589 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 965 kes atau 37.2 peratus.
Daripada jumlah itu, sebanyak 894 kes atau 92.6 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan, katanya.
Ini diikuti oleh Johor sebanyak 571 kes atau 22.0 peratus dan Sabah sebanyak 405 kes atau 15.6 peratus.
Sebanyak 81 kes atau 3.1 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes), Kluster Pagar Siput (4 kes), Kluster Tembok Gajah (3 kes),
dan Kluster Matambai adalah satu kes.
Beliau berkata pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.
Noor Hisham menambah, sehingga kini, terdapat 141 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 67 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Jelas beliau, terdapat pertambahan empat kes kematian pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 513 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“KKM ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh adalah sebanyak 1,129 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 100,578 kes atau 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette
















