Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup pejabat dan kaunternya di Georgetown sehingga dimaklumkan kelak, selepas beberapa anggotanya didapati positif Covid-19.

Menurut kenyataan KWSP, langkah itu diambil bagi menjaga keselamatan orang ramai dan kakitangannya.

Anggota yang terkesan kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan, manakala pengesanan kontak sedang dilaksanakan, ujarnya.

“Semua anggota perkhidmatan cawangan tersebut telah menjalani ujian swab Covid-19, dan sesiapa yang didapati mengalami sebarang gejala diwajibkan mematuhi prosedur kuarantin,” katanya.

Bagi pencarum KWSP yang telah membuat janji temu di cawangan Georgetown bagi tempoh ini dinasihatkan untuk menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online.

Dalam masa sama ahli KWSP boleh berurusan dengan mana-mana cawangan KWSP lain yang masih beroperasi seperti biasa atau melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui iAkaun.

KWSP memberi jaminan akan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakan fizikal dan pencegahan lain di setiap cawangannya untuk membendung penularan wabak Covid-19. -MalaysiaGazette