Najwan
Najwan Halimi

KUALA LUMPUR – Pendedahan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa jelas membuktikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki jumlah sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Najwan Halimi, pendedahan itu membuktikan Anwar mempunyai sokongan untuk diangkat sebagai Perdana Menteri sekaligus meruntuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Pendedahan Tan Sri Annuar Musa hari ini secara tidak langsung membuktikan bahawa Datuk Seri Anwar ibrahim memiliki sokongan yang cukup pada ketika itu untuk membentuk kerajaan baru dan menjadi Perdana Menteri,” ciap beliau, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu berkata demikian merujuk kepada pendedahan Annuar Musa hari ini yang mana terdapat surat sokongan kepada Anwar bagi menjatuhkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan itu menerusi sidang akhbarnya hari ini mendedahkan pemimpin tertinggi UMNO mengeluarkan surat sokongan kepada Anwar bagi menjatuhkan kerajaan PN.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan butiran pemimpin UMNO yang mana menyatakan sokongan kepada Anwar.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau mendedahkan perkara berkenaan kerana tidak bersetuju dengan pendirian pemimpin parti itu. – MalaysiaGazette