KUALA LUMPUR – Polis menahan sekumpulan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah kelab malam di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 21 hingga 28 tahun itu ditahan di Skudai pukul 7 malam di tempat yang sama hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga meneruskan usaha menahan saki-baki suspek yang terlibat dan menyiasat sekiranya ada elemen kongsi gelap dalam kejadian yang sama.

“Kejadian berpunca apabila salah seorang teman wanita pengunjung kelab malam itu diganggu.

“Ini menyebabkan berlaku kekecohan dan pengunjung lain telah mengambil kesempatan sehingga terjadinya pergaduhan sesama mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Ayob Khan berkata, video pergaduhan yang berlaku semalam tular dan hasil siasatan mendapati ia berlaku pukul 11.45 malam pada 4 Januari lalu.

Menurutnya, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 kanun yang sama bagi mengetahui sama ada ada elemen kongsi gelap dalam kejadian itu.

Semalam, pihaknya telah membuat serbuan dan rampasan peralatan muzik dipremis terlibat dan tindakan diambil di bawah Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor kerana beroperasi tanpa lesen serta melanggar perintah SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Sebelum ini juga premis ini telah diambil tindakan yang sama sebanyak empat kali di bawah enakmen yang sama,” katanya.- MalaysiaGazette