Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob pada Mesyuarat Biro Politik UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO mengadakan dua mesyuarat petang ini untuk membincangkan keputusan Presiden dalam perjumpaan Ketua-ketua Bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Dua mesyuarat berkenaan iaitu pengurusandan biro politik dihadiri beberapa Ahli Majlis Tertinggi (MT), Pengerusi Perhubungan Negeri dan Ketua-ketua UMNO Bahagian.

Mesyuarat pengurusan bermula kira-kira jam 2 petang tadi dan disambung mesyuarat biro politik jam 4 ptg ini, sebelum mesyuarat MT yang akan dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jam 8 malam ini.

MalaysiaGazette difahamkan, hasil daripada dua mesyuarat ini akan dibincangkan dalan mesyuarat MT untuk mendapatkan kata putus.

Antara agenda mesyuarat MT malam ini ialah kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta penggantian tempat Tan Sri Annuar Musa selaku Setiausaha Agung BN kepada Datuk Seri Ahmad Maslan sebagaimana diputuskan semalam.

Antara pemimpin dilihat hadir ialah Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, Datuk Seri Mohd Rauf Jusoh dan Tan Sri Noh Omar.

Semalam, dalam pertemuan Ahmad Zahid dengan 148 Ketua-ketua Bahagian, telah memutuskan untuk menggantikan jawatan dipegang Annuar kepada Ahmad.

Pada masa sama, selepas habis perjumpaan itu, beliau mengelak daripada berdepan dengan wartawan yang menunggu di luar pintu Dewan Tun Hussein Onn di PWTC. – MalaysiaGazette